Kejayaan Taiping majukan pelancongan raih 4 anugerah Pelancongan Negeri Perak | DagangNews Skip to main content

Kejayaan Taiping majukan pelancongan raih 4 anugerah Pelancongan Negeri Perak

Dua ekor gajah betina, Pian dan Rambai semasa menyertai perarakan sempena Sambutan Bandar Warisan Taiping ke 150 di Dataran Warisan Taiping.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 4 Okt - Usaha Taiping yang konsisten memajukan sektor pelancongan mendapat pengiktirafan apabila meraih 4 anugerah pada majlis Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2024 yang telah berlangsung di sebuah hotel di Ipoh.

 

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menerima Anugerah Inisiatif Pelancongan Sukarelawan Terbaik manakala Anugerah Penginapan Mesra Alam Terbaik diterima Sentosa Villa.

 

Dua anugerah lain iaitu Anugerah Pemandu Pelancong Alam Terbaik diterima Khairul Salleh Ahmad dan Anugerah Pemasaran Destinasi Paling Inovatif diberikan kepada Flytrike Taiping.

 

Dalam kenyataan, MPT mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima anugerah Perak Tourism Awards 2024.

 

Perak
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir (tiga dari kanan) bersama lain-lain penggiat pelancongan Taiping yang menerima anugerah masing-masing pada Perak Tourism Awards 2024.
 

 

Penghargaan juga diberi kepada semua penggiat industri pelancongan Taiping atas kerjasama, sokongan dan usaha gigih dalam bersama-sama mempromosikan pelancongan di Taiping.

 

“Terima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak di atas penganugerahan ini. 

 

“Semoga dengan penganugerahan ini dapat merancakkan lagi industri pelancongan di Taiping khususnya dan Perak amnya,” ujar kenyataan itu.

 

Selaras dengan sambutan 150 tahun Bandar Taiping dan Tahun Melawat Perak 2024 tahun ini, lebih 150 acara dirancang sepanjang tahun sehingga Disember.

 

Ia melibatkan 5 acara pada peringkat antarabangsa, 7 kebangsaan, 5 acara tersenarai dalam Kalendar Acara Negeri Perak dan selebihnya acara peringkat komuniti.

 

Perak
Aktiviti menaiki bot melayari Kuala Sepetang antara yang menarik pengunjung ke Taiping.

 

Perak

 

Dalam pada itu, inisiatif MPT menambah tarikan kepada pelancong ke bandar itu terus dilakukan menerusi projek Jejak Warisan Sejarah Bandar Taiping di Pondok Afrika Savanah, Zoo Taiping & Night Safari. 

 

Projek yang dirasmikan pada Jumaat lepas ini disokong melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan Tahun 2024 yang ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

 

Ia dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak serta Tourism Perak. 

 

Projek tersebut dilaksanakan oleh Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia Negeri Perak dengan sokongan teknikal dari Kansai Paint Asia Pacific Sdn. Bhd. 

 

Lokasi pertama di Zoo Taiping & Night Safari menampilkan enam mural dengan konsep ‘3D in the Floor’.

 

Perak
Lukisan mural 3D menjadi terbaru Jejak Warisan Sejarah Bandar Taiping di Pondok Afrika Savanah, Zoo Taiping & Night Safari. 
 

 

Perak

 

Ia menampilkan lukisan mural harimau belang, memerang, zirafah, buaya, ular dan titi gantung. 

 

Mural kedua iaitu mural Antong sepanjang 100 meter di Jalan Syed Burhan menceritakan proses penghasilan kopi tradisional Antong. 

 

Lokasi ketiga pula ialah mural Selamat Datang Ke Bandar Taiping berukuran 34.7 meter lebar dan 16.15 meter tinggi yang menampilkan ikon sejarah dan aktiviti luar Taiping.

 

Projek ini turut menggunakan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR), menjadikan mural interaktif dan memberikan pengalaman pembelajaran sejarah kepada pengunjung.  - DagangNews.com