Tony Fernandes dilantik sebagai adjung profesor di Universiti Malaya | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes dilantik sebagai adjung profesor di Universiti Malaya

Tony Fernandes
Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 4 Okt - Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, dilantik sebagai adjung profesor di Universiti Malaya (UM) selama tiga tahun.

 

Dalam satu kenyataan, UM menyatakan, pengalaman luas Tony dalam industri penerbangan dan kepimpinan perniagaan akan membawa wawasan yang tidak ternilai kepada pelajar, pensyarah dan universiti secara keseluruhan.

 

UM menambah, dengan lebih daripada 35 tahun pengalaman dalam pelbagai industri, beliau dapat memberikan pelajar akses yang tiada tandingan kepada kepakaran industri dan menghubungkan pengetahuan akademik dengan amalan perniagaan dunia nyata.

 

 

Tony dijangka menyampaikan pelbagai kuliah, seminar dan bengkel setiap tahun serta membantu UM dalam membangunkan kerjasama strategik dengan organisasi nasional dan antarabangsa.

 

Naib Canselor UM, Noor Azuan Abu Osman menyatakan, kerjasama dengan pemimpin industri utama dan institusi dalam sektor kritikal adalah bahagian penting dalam strategi universiti.

 

"Kehadiran Tony mencerminkan kerjasama strategik untuk mendorong masa depan dalam mencipta domain baharu pengalaman pengajaran dan pembelajaran untuk komuniti kampus," katanya.

 

Tony terkenal kerana mengubah AirAsia, yang dioperasikan oleh Capital A, menjadi satu daripada syarikat penerbangan terbesar dan paling berjaya di Asia. - DagangNews.com