IPOH 14 Nov - Cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menaikkan cukai taksiran bermula 1 Julai 2025 mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk bandar ini.
Kadar baharu tersebut dilihat terlalu tinggi berbanding nilai hartanah dan kemudahan sedia ada.
Presiden Ipoh City Watch, Dr. Richard Ng berkata, pengiraan kadar cukai baharu hendaklah realistik walaupun MBI memberi alasan kali terakhir cukai disemak 40 tahun lalu.
Katanya, MBI perlu mengkaji kadar cukai berdasarkan nilai sewaan sebenar selain memperbaiki kemudahan infrastruktur untuk merangsang pelaburan.
“Menaikkan cukai akan membebani pemilik hartanah dengan kos hidup yang semakin tinggi.
“Kebanyakan bandar besar di Malaysia berkembang pada kadar berbeza, namun Ipoh masih ketinggalan berbanding Melaka, Seremban, dan Shah Alam.
“Alasan MBI semakan cukai terakhir dilakukan pada 1981 pada kadar 16.5%, kini MBI memohon kenaikan kadar cukai baharu pada 30%.
“Setiap tahun, MBI mengutip lebih RM145 juta daripada cukai taksiran, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM160 juta pada tahun depan.
“Warga Ipoh berhak tahu ke mana perginya hasil cukai taksiran yang dikutip setiap tahun,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi kepada media.
Tambah Richard yang merupakan bekas Ahli Majlis MBI sesi lepas, meskipun harga hartanah meningkat, kenaikan cukai taksiran harus mengambil kira faktor lokasi, infrastruktur, aktiviti ekonomi, dan kemudahan sedia ada.
“Pemilik hartanah di Ipoh menerima notis kenaikan yang berbeza antara 4% untuk kampung, 5% untuk kampung baru dan 9% untuk taman-taman perumahan.
“Kaedah pengiraan cukai berdasarkan anggaran sewa masa depan perlu dijelaskan dan MBI disaran turun padang menilai kadar sewa sebenar setiap lokasi yang berbeza-beza,” katanya.
Beliau mengambil contoh, di Shah Alam, kadar sewa untuk rumah teres dua tingkat ialah RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dengan kadar cukai 3.45%.
Harga jualan bagi rumah teres dua tingkat di Shah Alam adalah sekitar RM800,000.
“Berbanding di Ipoh, harga rumah di kawasan seperti Desa Tambun Indah antara RM350,000 hingga RM500,000 manakala kadar sewa hanya RM1,000 sebulan.
“Kadar cukai taksiran baru ialah 9% iaitu jauh lebih mahal daripada Shah Alam,” jelasnya.
Justeru itu kata Richard, hartanah yang diubah suai tanpa perubahan saiz lantai tidak wajar dikenakan cukai lebih tinggi.
“MBI perlu meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan untuk menarik pelaburan ke Ipoh.
“Rakyat bimbang cukai baru nanti membebankan,” ujarnya. - DagangNews.com