Kenanga Research kekalkan ramalan KDNK negara tahun ini pada paras 5% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekalkan ramalan KDNK negara tahun ini pada paras 5%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 pada paras 5% dan dijangka menyederhana kepada 4.8% menjelang 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu sejajar dengan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku ketiga tahun ini.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan terus perlahan pada suku terakhir tahun ini kepada sekitar 4.6%, memandangkan momentum pertumbuhan lazimnya berkurangan pada asas suku ke suku.

 

"Prospek pertumbuhan bergantung kepada faktor luaran, termasuk potensi kelembapan dalam ekonomi maju akibat ketinggalan kesan daripada kadar faedah yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research juga menekankan ketegangan geopolitik yang memuncak di Asia Barat dan Eropah Timur juga menimbulkan risiko yang mengganggu rantaian bekalan global.

 

"Eksport Malaysia sangat bergantung kepada pemulihan ekonomi China dan prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS). 

 

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS boleh mengurangkan penerimaan eksport terutamanya dari AS," katanya.

 

Menurut data eksport September 2024, Kenanga berkata, jumlah eksport turun sebanyak 0.3% daripada kenaikan 12% pada bulan sebelumnya.

 

Katanya, eksport ke AS merosot mendadak kepada 9.1% apabila ringgit menambah nilai kira-kira 9.0% tahun ke tahun, dengan purata RM4.26 pada September 2024.

 

"Secara keseluruhan, permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, ketibaan pelancong yang meningkat dan kemasukan berterusan pelaburan yang diluluskan. 

 

"Walaupun kami berhati-hati terhadap prospek eksport, kami menjangkakan segmen berkaitan teknologi dalam sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global," katanya.- DagangNews.com