KUALA LUMPUR 22 Jan - Kerjasama kukuh antara SkyWorld Development Bhd dan firma Singapura Teambuild Holding (S) Pte Ltd serta penggunaan teknologi baharu dipercayai bakal meningkatkan margin keuntungan lebih tinggi untuk kumpulan itu.
Phillip Capital berkata, kumpulan itu mengumumkan kemasukannya ke dalam sektor pembuatan pasang siap melalui kerjasama dengan Teambuild untuk menubuhkan anak syarikat usaha sama Prefab Master Sdn Bhd.
Katanya, SkyWorld mempunyai majoriti 70% kepentingan dalam syarikat kejasama itu manakala selebihnya dipegang oleh Teambuild.
Firma penyelidikan itu berkata, kerjasama itu membolehkan SkyWorld menggabungkan teknologi pembinaan pasang siap dan prasiap (PPVC) dalam pembangunan rumah mampu milik bernilai RM13 bilion di Pulau Pinang, dengan fasa pertama dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.
"Penggunaan rumusan PPVC dijangka meningkatkan kualiti pembinaan keseluruhan, mempercepatkan tempoh masa penyampaian projek, dan meningkatkan kecekapan kos terutamanya memandangkan pembangunan berskala besar 35,000 unit Rumah Bakat Baru Madani dalam tempoh 15 tahun," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: SkyWorld terokai sektor pembuatan prefabrikasi sokong projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang
Phillip Capital berkata, Teambuild pakar dalam unit modular pasang siap, dengan rekod prestasi yang terbukti dalam melaksanakan projek pembangunan hartanah awam dan swasta di Singapura.
Katanya, syarikat kerjasama itu akan menanggung perbelanjaan modal untuk menubuhkan kemudahan pembuatan.
“Kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan.
"Kami mengekalkan penarafan ‘"beli" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.10 sesaham,” tambah Phillip Research. - DagangNews.com