Kerjasama ECERDC dan kerajaan negeri Kelantan bakal lonjakkan industri kambing tenusu, sasar pasaran tempatan dan antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Kerjasama ECERDC dan kerajaan negeri Kelantan bakal lonjakkan industri kambing tenusu, sasar pasaran tempatan dan antarabangsa

Oleh Shamsiah Zulkafli

PUTRAJAYA 14 Okt – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ECERDC) memeterai perjanjian kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu.

 

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (Goat Milk Collection Centre (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam memajukan sektor pertanian di wilayah tersebut dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

 

GMCC berfungsi sebagai hab pusat pengumpulan susu kambing yang utama dengan kawalan kualiti yang lebih baik, saluran pemprosesan dan pengedaran yang lebih cekap, serta meningkatkan daya saing pasaran.

 

ECERDRC

 

Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan hari ini, perjanjian kerjasama telah ditandatangani seterusnya menandakan fasa seterusnya usaha ECERDC untuk memperkukuhkan industri asas tani di Kelantan, khususnya dalam sektor ternakan. 

 

GMCC dijangka dapat mengumpul sebanyak 730,000 liter susu kambing segar menjelang tahun 2029. 

 

Jumlah pengeluaran susu kambing itu bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kian meningkat, tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kambing tenusu di negeri Kelantan.

 

Peningkatan kapasiti pengeluaran GMCC dijangka mampu merancakkan lagi ekonomi pertanian tempatan dengan menyediakan peluang pendapatan yang tetap kepada penternak kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta membuka peluang perniagaan baharu dalam industri halal dan tenusu.

 

Menurut Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Nassuruddin Daud, negeri Kelantan mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian, dan kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan GMCC ini merupakan langkah strategik dalam merealisasikan potensi tersebut. 

 

"GMCC bukan sahaja akan membuka peluang ekonomi kepada penternak tempatan, tetapi juga meletakkan Kelantan sebagai pemain utama dalam sektor halal dan tenusu di Malaysia. 

 

"Kami komited untuk bekerjasama dengan ECERDC bagi memastikan kejayaan projek ini, dan berharap lebih banyak usaha bersama di masa hadapan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Pengarah Unit Perancang, Ekonomi Negeri Kelantan, Mohamad Nazwan Ismail, manakala ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Baidzawi Che Mat dan Pemangku Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Tani, Fakrul Nizam Baharum. 

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut Mohd Nassuruddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nazran Muhammad; Timbalan Pengarah, (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Ravikumar A/L Suppiah; Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Shahiran Sha’ari; dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Dato' Ragu Sampasivam.

 

Baidzawi berkata, pembangunan GMCC merupakan pencapaian penting bagi sektor ternakan di Kelantan dengan Operator Induk dijangka dilantik pada Januari 2025 oleh kerajaan negeri dan kemudahan dijangka siap pada Februari 2025. 

 

"Kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan ini memodenkan industri susu kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pemain industri yang kompetitif dalam pasaran tenusu negara," katanya.

 

Semasa Mesyuarat ICC Kelantan berlangsung, ECERDC membentangkan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan mengenai Perancangan Wilayah Pantai Timur bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta strategi pembangunan untuk tempoh lima tahun sehingga tahun 2030 dengan mengenal pasti empat teras utama iaitu Bakul Makanan, Mencipta Destinasi, Pembuatan (Hard-to-Abate sectors) dan Industri Marin serta disokong oleh sektor Logistik dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

 

Dalam mesyuarat tersebut, Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan turut dimaklumkan mengenai pelaburan bernilai RM153 juta yang telah direalisasikan di Kelantan sehingga September 2024, melebihi sasaran RM100 juta bagi tahun ini. 

 

Pelaburan itu akan mewujudkan 879 peluang pekerjaan serta 69 peluang keusahawanan dalam sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan.

 

Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Kelantan juga diberi taklimat mengenai pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan, termasuk Taman Perindustrian Tok Bali dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, yang menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. 

 

Taman Perindustrian Tok Bali dijangka menarik pelaburan swasta bernilai RM400 juta menjelang November 2026, seterusnya memacu pembangunan ekonomi di rantau berkenaan. 

 

Selain itu, Zon Pelancongan Bersepadu Geting (GITZ) di Tumpat turut disebut sebagai projek penting yang dibangunkan untuk menjadikan Kelantan destinasi pelancongan utama negara. - DagangNews.com