KJTS meterai perjanjian 20 tahun sedia perkhidmatan operasi, penyelenggaraan loji penyejuk di Thailand | DagangNews Skip to main content

KJTS meterai perjanjian 20 tahun sedia perkhidmatan operasi, penyelenggaraan loji penyejuk di Thailand

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - KJTS Group Bhd menerusi anak syarikatnya di Thailand, KJTN Engineering Co Ltd memterai perjanjian dengan Central Plaza Hotel Public Company Limited bagi kerja-kerja pengubahsuaian, penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) untuk loji penyejuk, dan bekalan air sejuk di Centara Grand Mirage Beach Resort Pattaya untuk tempoh 20 tahun.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi perjanjian itu, KJTN Engineering akan membiayai kerja-kerja pengubahsuaian berjumlah THB38.98 juta yang bersamaan RM4.92 juta. 

 

Dalam tempoh perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan, KJTN Engineering akan mengenakan bayaran bulanan tetap sebanyak THB620,072 yang bersamaan dengan lebih kurang RM78,230. 

 

"Selain itu, bayaran bulanan akan dikenakan berdasarkan kuantiti air sejuk yang dibekalkan. Jumlah yuran tetap selama 20 tahun ialah THB148.82 juta yang bersamaan sekitar RM18.78 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Projek itu mengikuti kontrak pertama KJTN Engineering dengan Central Group di Centara Grand Hotel di Central World di Bangkok dengan perjanjian 15 tahun untuk kerja-kerja pengubahsuaian, penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan untuk loji penyejuk, dan bekalan air sejuk yang ditandatangani pada 31 Januari 2024.

 

KJTS
Kitti Chungsawanant

 

Kerja-kerja pengubahsuaian bermula pada 1 Oktober 2024 dan dijangka siap pada 31 Mei 2025. 

 

Perkhidmatan O&M dan bekalan air sejuk akan bermula pada 1 Jun 2025 dan dijangka siap pada 31 Mei 2045, pada masa itu pemilikan loji penyejuk akan dipindahkan ke Centel.

 

Pengarah KJTN Engineering, Kitti Chungsawanant berkata, pihaknya berbesar hati kerana mempercayai perkhidmatan kumpulan ini dan ia mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran mereka dalam perkhidmatan pengurusan tenaga penyejuk. 

 

"Kami berharap dapat meneruskan hubungan kukuh kami dengan Central Group dan berharap dapat mengembangkan kerja kami merentasi lebih banyak aset berprestij mereka.

 

"Usahasama ini bersedia untuk mengukuhkan kedudukan KJTS dalam pasaran, mencerminkan tumpuan strategik untuk mengembangkan perkhidmatan dan pengaruh Kumpulan di seluruh Malaysia, Thailand dan Singapura," katanya. - DagangNews.com