KUALA LUMPUR 22 Jan - Koperasi Dagang Emas Malaysia Berhad (KDE) mencatat kejayaan luar biasa apabila merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 100% kepada lebih RM22 juta pada 2024, berbanding RM13 juta pada 2023, membolehkannya menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Rusli Jaafar berkata, selain itu, KDE juga berjaya mengagihkan sebanyak 10% dividen selama dua tahun berturut-turut.
Katanya, pada tahun 2022, dividen yang diagihkan adalah 6.5% membabitkan nilai RM138,000, sementara dividen pada 2023 adalah sebanyak 10%, bersamaan RM219,000.
"Terbaharu, koperasi mengumumkan pengagihan dividen 10% daripada untung bersih yang bersamaan RM795,000," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau kelmarin dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Dagang Emas Malaysia Berhad (KDE) kali ke-15.
Mesyuarat agung tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Pertubuhan Emas Malaysia (MGA) dan Konsul Kehormat Kazakhstan di Pulau Pinang, Dato' Louis Ng, Pengerusi KDE Dato' Abdul Wahab, Naib Pengerusi KDE, Charles Lim, serta Ahli Lembaga, Dato' Albert Moh.
Beliau turut merasmikan Ibu Pejabat baharu KDE yang terletak di tingkat 8, Menara Public Gold, Jalan Tun Razak.
Menurut Rusli, sehingga 15 Januari 2025, terdapat sebanyak 16,265 koperasi berdaftar di Malaysia dan KDE kini berada di kedudukan ke-134 dalam kalangan 350 koperasi terbaik di Malaysia.
Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan koperasi untuk sentiasa mematuhi perundangan, arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh SKM.
"SKM akan memberi pertimbangan teliti terhadap isu-isu relevan bagi menggalakkan pertumbuhan sihat industri Ar-Rahnu dan mewujudkan persekitaran yang positif untuk kemajuan ekonomi," ujarnya.
KDE, yang didaftarkan pada 28 Januari 2010 sebagai Koperasi Dagang Emas Pulau Pinang Berhad, memperluaskan operasinya ke seluruh Malaysia.
Anggota Lembaga Koperasi itu merupakan Ahli Pertubuhan Emas Malaysia (MGA) dan Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM).
Setelah 12 tahun beroperasi, perkhidmatan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) yang dikendalikan oleh KDE kini telah berkembang pesat dengan 40 cawangan Ar-Rahnu di seluruh Malaysia. - DagangNews.com