KUALA LUMPUR 30 Okt - RHB Investment menjangkakan Kucingko Bhd berada di kedudukan terbaik bagi memanfaatkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan animasi 2D, disokong model perniagaan efisyen selain hubungan baik dengan pelanggan.
Katanya, penubuhan pejabat di Amerika Syarikat (AS) dan pelantikan veteran industri animasi dijangka mengukuhkan pendedahannya kepada penstriman video atas permintaan (SVOD).
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mengendalikan model perniagaan yang unik bersama kumpulan pakar animasi tempatan yang kukuh yang berkhidmat sebagai aset utama kumpulan.
"Sebahagian besar pendapatan diperoleh daripada pasaran Amerika Utara dan Eropah. Kami percaya kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan pasaran SVOD yang berkembang di AS, yang diunjurkan berkembang pada CAGR 19.8% antara 2024 dan 2030.
"Kami melihat penguasaan Bahasa Inggeris yang kukuh sebagai kelebihan daya saing utama untuk Kucingko.
"Rakan setraranya yang lebih besar di Korea dan Thailand tidak dapat memadankan keupayaan linguistik dengan bahasa yang tidak digunakan secara meluas di pasaran tempatan," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, memandangkan kebanyakan pelanggan adalah dari wilayah Amerika Utara (74% daripada hasil FY23), penubuhan pejabat jualan di AS akan membolehkan kumpulan itu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada dan menjangkau kumpulan pelanggan baharu.
Katanya, rancangan untuk menubuhkan dua pejabat di Malaysia Timur bagi memanfaatkan kumpulan bakat animasi yang boleh memacu lagi kecekapan kos kakitangan.
"Pengurusan mempunyai rancangan untuk mengembangkan tenaga kerja kepada lebih 500 dalam tempoh tiga tahun akan datang daripada di bawah 300 pada masa ini," katanya.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang penarafan untuk kumpulan itu dengan harga wajar (FV) 48 sen sesaham. - DagangNews.com