KWAP labur RM219 juta ambil alih kepentingan Cyan Renewables  | DagangNews Skip to main content

KWAP labur RM219 juta ambil alih kepentingan Cyan Renewables 

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP. - Gambar JOHARDY IBRAHIM/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) melengkapkan pelaburannya sebanyak RM219 juta untuk mengambil alih kepentingan minoriti dalam Cyan Renewables, pemilik dan pengendali kapal sokongan luar pesisir terbesar di Asia.

 

KWAP merupakan pelabur bersama kepada perjanjian itu, diketuai oleh Seraya Partners, pelabur infrastruktur pasaran pertengahan tertumpu di Asia.

 

Pelaburan strategik itu sejajar dengan komitmen KWAP terhadap rangka kerja Ekonomi Madani yang menyokong nilai terasnya iaitu kemampanan, kemakmuran dan inovasi.

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pelaburan ke dalam Cyan adalah bukti komitmennya dalam mencapai pelaburan RM20 bilion dalam aset peralihan menjelang 2030, mengukuhkan matlamat Ekonomi Madani dan kemampanan.

 

“Cyan juga menyokong peralihan legasi kepada tenaga bersih dengan menyediakan perkhidmatan penting dan bernilai tinggi yang ‘Menaikkan Siling’ dan juga membangunkan profesional mahir di dalam negara, iaitu ‘Menaikkan Lantai’.

 

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP, yang diketuai oleh Kementerian Kewangan dalam menyatukan usaha merentasi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama termasuk infrastruktur, pengangkutan dan tenaga boleh diperbaharui, antara lain,” katanya.

 

Dalam pada itu, Cyan sudah pun menjana pendapatan yang besar dari Malaysia dan komited untuk meningkatkan lagi industri kapal sokongan luar pesisir negara, dengan rancangan untuk melabur sehingga RM1 bilion bersama KWAP dalam pelbagai usaha, seperti menubuhkan ibu pejabatnya di Asia Tenggara di Malaysia dan membangunkan armada, pasukan pengurusan dan penyewaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Miri.

 

Di samping itu, Cyan juga merancang untuk menggaji profesional pelayaran tempatan dan melalui kerjasama dengan organisasi Malaysia, ia akan menaja kadet dalam tempoh 10 tahun akan datang, menawarkan latihan dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

 

Sementara itu, kumpulan itu juga akan memperluaskan operasi dengan menggunakan limbungan kapal tempatan bagi pembaikan kapal dan binaan baharu, secara tidak langsung menyokong pertumbuhan industri kapal Malaysia. - DagangNews.com