Leader Energy Group, Plus Xnergy Services jalin kerjasama bangunkan sistem storan tenaga bateri pertama negara | DagangNews Skip to main content

Leader Energy Group, Plus Xnergy Services jalin kerjasama bangunkan sistem storan tenaga bateri pertama negara

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood; Ketua Pegawai Eksekutif Plus Xnergy Services Sdn Bhd, Thang Chee Keong; Ketua Pegawai Eksekutif Plus Xnergy Group, Ko Chuan Zhen; Timbalan Perdana Menteri dan Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, Datuk Mohamad Razif Abdul Mubin dan Ketua Pegawai Pembangunan Leader Energy Group Bhd,Liew Ken Loong
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Leader Energy Group Bhd menerusi Leader Solar Energy II Sdn Bhd (LSE II) dengan kerjasama Plus Xnergy Services Sdn Bhd akan membangunkan penggunaan sistem storan tenaga bateri (BESS) natrium-sulfur (NaS) pertama negara.

 

Projek ladang solar berskala besar (LSS) itu juga merupakan bateri bersambung grid berskala megawatt (MW) pertama yang digunakan untuk aplikasi LSS di semenanjung Malaysia.

 

Menurut satu kenyataan hari ini, reka bentuk berskala sistem itu membolehkan pembangunan masa hadapan melalui konfigurasi bekas bertindan dua lapisan yang akan meningkatkan lagi keselamatan tenaga dengan cekap.

 

Katanya, NaS BESS bakal mengurangkan cabaran dengan melepaskan tenaga lebihan daripada ladang LSS dengan cepat sebagai tindak balas kepada turun naik pengeluaran tenaga yang stabil dan tidak terganggu.

 

"Ini bermakna tenaga yang sebaliknya akan dilepaskan boleh ditangkap semula dan disimpan sekaligus meningkatkan jumlah tenaga yang dieksport kembali ke grid," katanya.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng berkata, projek inovatif itu akan meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan operasi tenaga solar di LSE II. 

 

Disamping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Plus Xnergy, Ko Chuan Zhen berkata, projek perintis sistem NaS BESS tersebut merupakan satu lagi kejayaan syarikat dalam menyokong cita-cita sifar bersih Malaysia.

 

"Anggaran pengelakan tahunan sebanyak 126.5 tCO2e yang didayakan oleh NaS BESS akan menyumbang dengan ketara kepada sasaran kemampanan negara.

 

"Projek itu akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi tenaga boleh diperbaharui (RE) yang stabil, terutamanya Malaysia yang muncul sebagai hab pusat data dan awan serantau,” katanya. 

 

NaS BESS akan dibina atas tapak seluas 72 hektar dengan kapasiti 20 MWac (megawatt arus ulang-alik) di bawah program LSS2 kebangsaan.

 

Sementara itu, pemasangan sistem NaS BESS dijangka bermula pada pertengahan Oktober 2024, dengan penyiapan dijangka pada akhir tahun.- DagangNews.com