Pertubuhan Hemofilia Malaysia bimbang isu kekurangan bekalan dan rawatan, rayu kerajaan pertimbang peruntukan dalam Bajet 2025 | DagangNews Skip to main content

Pertubuhan Hemofilia Malaysia bimbang isu kekurangan bekalan dan rawatan, rayu kerajaan pertimbang peruntukan dalam Bajet 2025

Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM) di Institut Kesihatan Kebangsaan- Gambar dari Facebook HSM
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Pertubuhan Hemofilia Malaysia (HSM) menzahirkan kebimbangan berkaitan isu kekurangan bekalan rawatan kepada penghidap hemofilia di seluruh negara dan menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan serta pendekatan polisi dalam pembentangan Bajet 2025.


HSM berkata, selaku organisasi sokongan menyenaraikan tiga potensi kerjasama dengan KKM untuk menambah baik pengurusan hemofilia. “Ini termasuk meneroka penggunaan pelbagai jenis rawatan inovatif dengan pendekatan efektif, menggunakan sistem daftar penghidap dan rekod perubatan secara menyeluruh bagi setiap penghidap semua usia.


“Kami juga mencadangkan untuk meningkatkan jalinan kerjasama KKM-HSM untuk saling melengkapi keupayaan kedua-dua dalam urusan perbekalan, penjagaan, dan pelbagai kolaborasi ke arah pencegahan pendarahan dan hilang upaya kekal dalam populasi penghidap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

HSM
Presiden HSM, Edwin Goh


Presiden HSM, Edwin Goh berkata, Hemofilia merupakan penyakit yang dialami oleh penghidap seumur hidup, di mana setiap penghidap tidak mempunyai komponen pembekuan darah yang mencukupi sehingga menyebabkan sebarang kecederaan dalaman serta pendarahan berlaku secara berterusan sehingga boleh menyebabkan kecacatan kekal.

 

"Sejak awal tahun lepas, beberapa pusat rawatan utama di Malaysia telah didapati mengalami kekurangan bekalan rawatan hemofilia sehingga menyebabkan ramai penghidap terpaksa berulang alik secara kerap ke hospital bagi mendapatkan bekalan secara berperingkat.


“Hal ini menyebabkan penghidap serta ibu bapanya terpaksa kerap meninggalkan pejabat atau mengambil cuti sehingga setiap minggu untuk mendapatkan bekalan rawatan. “Jika situasi ini berterusan, ia berpotensi menyebabkan kesukaran penghidap untuk mendapatkan rawatan lantas meningkatkan risiko ketinggalan dalam rawatan dan jumlah pendarahan kian meningkat,” kata Edwin.


Pada Jun 2023, HSM telah menulis surat pertama kepada Menteri Kesihatan pada ketika itu, Dr. Zaliha Mustafa yang telah memberikan maklum balas mengenai cabaran yang dialami pihak KKM, serta tindakan akan diambil segera dalam aspek perbekalan rawatan tersebut.


Namun, HSM mendapati situasi kekurangan bekalan rawatan hemofilia kembali berterusan sehingga hari ini.


Persatuan itu berkata, mereka telah menghantar surat kedua kepada Menteri Kesihatan, kini Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam surat bertarikh 20 Mei 2024 untuk memohon penjelasan situasi terkini, di samping turut menyatakan hasratnya untuk membantu pihak kerajaan dalam mencari rumusan.


Namun sehingga kini, HSM masih belum menerima sebarang maklum balas jelas berkaitan isu tersebut daripada pihak KKM.- DagangNews.com