Lembaga Pembangunan Bintulu peroleh 10% pegangan saham dalam Ferroalloys | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pembangunan Bintulu peroleh 10% pegangan saham dalam Ferroalloys

Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUALA LUMPUR 18 Dis - Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) memperoleh 10% pegangan saham dalam Pertama Ferroalloys Sdn Bhd (Ferroalloys) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pemindahan saham, satu langkah penting untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan komuniti dan inisiatif kelestarian di Sarawak.

 

Perkongsian itu menandakan lanjutan kerjasama antara dua pihak berkenaan, termasuk Projek Penanaman Buluh yang dilancarkan pada November 2023, yang menunjukkan komitmen mereka terhadap amalan kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar.

 

Pengerusi dan Pengarah Urusan Pertama Ferroalloys, Hirotaka Suzuki berkata, perkongsian tersebut bukan sahaja tentang pelaburan kewangan, tetapi turut memberikan sumbangan positif kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar di Sarawak.

 

Beliau menjangkakan, sokongan daripada kedua-dua pihak akan merangsang pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Bintulu, tetapi juga di seluruh Sarawak dan Malaysia.

 

"Ini akan meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan dan menjadi contoh kepada organisasi dan pemimpin dalam mendorong inisiatif kelestarian di Sarawak, sekali gus menyokong strategi pembangunan pasca Covid-19 (PCDS) 2030," kata beliau dalam ucapannya pada majlis tersebut seperti laporan The Edge.

 

Perjanjian pemindahan saham itu dimeterai oleh BDA dan Pertama Ferroalloys dalam satu majlis yang diadakan di Tokyo, semalam.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Suzuki dan Pengurus Besar BDA, Datuk Muhamad Yakup Kari, disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany; dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Negeri, Datuk Seri Julaihi Narawi.

 

Loji peleburan Ferroalloys di Bintulu, Sarawak, adalah loji mangan aloi dan ferrosilikon berskala besar pertama di Malaysia.

 

Syarikat itu menghasilkan dan mengedarkan produk aloi mangan kepada industri keluli global, sambil memberi tumpuan kepada kelestarian. - DagangNews.com