Levi untung luar biasa RM150 meningkat sederhana demi kurangkan tekanan kenaikan kos - MPOB  | DagangNews Skip to main content

Levi untung luar biasa RM150 meningkat sederhana demi kurangkan tekanan kenaikan kos - MPOB 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kenaikan ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) sebanyak RM150 bagi pengeluar minyak sawit adalah sederhana tetapi satu langkah ke hadapan untuk mengurangkan tekanan daripada peningkatan kos pengeluaran minyak sawit, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan peningkatan pada ambang levi kepada RM3,150 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan RM3,650 satu tan bagi Sabah dan Sarawak mulai 1 Jan 2025. Kadar levi kekal pada 3 peratus.

 

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam satu kenyataan berkata pelarasan itu membolehkan syarikat perladangan beroperasi dengan lebih cekap, terutama dalam menghadapi pasaran minyak sayuran global yang kompetitif.

 

Dengan ambang levi yang dinaikkan, syarikat boleh merancang pelaburan yang memfokuskan pada inisiatif jangka panjang, termasuk pelaburan strategik dalam penanaman semula pokok sawit yang sudah tua, sekali gus meningkatkan produktiviti ladang.

 

Menurutnya peruntukan RM65 juta untuk menangani salah tanggapan mengenai minyak sawit di peringkat antarabangsa, khususnya dari Kesatuan Eropah, adalah langkah strategik untuk mengukuhkan pasaran minyak sawit Malaysia.

 

"Inisiatif ini bukan sahaja memerangi kempen anti-minyak sawit tetapi juga membetulkan salah faham tentang minyak sawit. Ia juga termasuk usaha untuk meningkatkan kemampanan sektor minyak sawit melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," kata Ahmad Parveez.

 

 

Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
                                           Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Beliau berkata pensijilan MSPO adalah penting untuk meningkatkan reputasi minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Ia menunjukkan komitmen negara untuk memastikan industri minyak sawit mematuhi amalan mampan selaras dengan piawaian antarabangsa.

 

Dalam konteks ini, MPOB melihat keperluan dana ini untuk memperkasakan pekebun kecil melalui Kluster Minyak Sawit Lestari (SPOC).

 

Melalui pendekatan SPOC, pekebun kecil menerima sokongan nasihat daripada MPOB mengenai amalan lestari sejajar dengan prinsip kemampanan.

 

Pekebun kecil memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan minyak sawit Malaysia.

 

Ahmad Parveez berkata peruntukan bajet sebanyak RM100 juta di bawah Bajet 2025 juga dijangka memanfaatkan lebih 1,500 pekebun kecil di kawasan seluas 5,900 hektar.

 

Pelaksanaan insentif tanam semula menggalakkan pekebun kecil menggantikan pokok kelapa sawit yang tidak produktif, sekali gus meningkatkan hasil minyak sawit dan meningkatkan pendapatan mereka.

 

Parveez juga berkata, inisiatif kerajaan menyediakan insentif cukai untuk automasi dan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dijangka menarik pekerja tempatan menceburi kerjaya dalam sektor perladangan.

 

Insentif cukai untuk automasi akan menggalakkan syarikat perladangan kelapa sawit mengguna pakai teknologi moden seperti dron dan kecerdasan buatan (AI), yang boleh meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

 

“Kenaikan gaji minimum adalah langkah positif yang akan meningkatkan pendapatan pekerja yang terlibat dalam rantaian industri sawit,” katanya. - DagangNews.com