Life Water lancar IPO Pasaran Utama, sasar kumpul RM81.87 juta | DagangNews Skip to main content

Life Water lancar IPO Pasaran Utama, sasar kumpul RM81.87 juta

(Dari kiri) Pengarah Kanan Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Hwong Kuen; Pengarah Eksekutif Life Water Berhad, Chin Lee Ling; Pengarah Urusan Life Water Berhad, Liaw Hen Kong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Datuk Seri Nur Julie Gwee Ariff; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Datuk Mohd Nasir Ali dan Pengarah Kanan Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Lim Young Piau.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Life Water Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang menyasar untuk mengumpul RM81.87 juta. 

 

Menurut prospektus rasminya, IPO berharga 65 sen sesaham itu akan memberikan syarikat yang berpangkalan di Sabah itu permodalan pasaran sebanyak RM307.57 juta, hampir 11 kali ganda keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24). 

 

Permohonan untuk saham IPO akan ditutup pada 30 Oktober 2024 dan penyenaraian telah dijadualkan pada 13 November 2024.

 

Pengeluar minuman tempatan itu berkata, IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 97.56 juta saham biasa baharu an menawarkan penjualan 28.39 juta saham biasa sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu menawarkan pelabur 26.62% kepentingan dalam syarikat itu. 

 

Life Water dijangka untuk mengumpul RM63.42 juta daripada terbitan awam, manakala tawaran jualan akan mengumpul RM18.45 juta, akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang sahamnya iaitu Liaw Hen Kong, Chin Lee Ling, Tan Hwong Kuen dan Lim Young Piau.

 

Hen Kong ialah Pengarah Urusan kumpulan itu, manakala pasangannya, Lee Ling ialah Pengarah Eksekutif. Kedua-dua Hwong Kuen dan Yong Piau adalah Pengarah Kanan Bukan Eksekutif. 

 

Daripada hasil yang diperoleh daripada penjualan saham baharu, RM19 juta akan digunakan bagi menubuhkan saluran pembuatan air minuman tambahan di Kilang Sandakan Sibuga 1.

 

LifeWater juga telah memperuntukkan RM12 juta untuk membeli talian pembuatan air minuman untuk Kilang Sandakan Sibuga 2.

 

Syarikat itu juga memperuntukkan RM12.6 juta untuk menubuhkan pusat pengedaran kedua di Sandakan, RM9.61 juta dalam pembesaran kemudahan pembungkusan plastik sedia ada di Kota Kinabalu dan RM4.21 juta untuk membiayai keperluan modal kerja. Selebihnya akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Di bawah terbitan awam, 23.66 juta saham terbitan akan disediakan untuk permohonan kepada orang ramai Malaysia, diikuti oleh 14.20 juta saham terbitan disediakan untuk orang yang layak. Syarikat itu juga akan memperuntukkan 560,000 saham terbitan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Baki 59.14 juta saham terbitan pula akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan.

 

Keuntungan bersih Life Water meningkat kepada RM28.12 juta pada FY24, daripada RM20.62 juta pada FY23 dan RM15.74 juta pada FY22.

 

Hasil juga meningkat kepada RM166.53 juta pada FY24, daripada RM150.96 juta pada FY23 dan RM121.4 juta pada FY22.

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com