Lotus Circular beli dua syarikat kitar semula pada harga RM100 juta bagi perkukuh kedudukan dalam pasaran | DagangNews Skip to main content

Lotus Circular beli dua syarikat kitar semula pada harga RM100 juta bagi perkukuh kedudukan dalam pasaran

Gambar Nick Fewings/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Dis - Lotus Circular Bhd (Lotus Circular) yang tersenarai di Pasaran Utama, akan membeli dua syarikat kitar semula iaitu Earthwise Resources Sdn Bhd (Earthwise) dan Expert Resources Management Sdn Bhd (Expert Resources), yang dikawal oleh pengarah dan pemegang saham utamanya, Datuk Wong Sak Kuan, pada harga RM100 juta.

 

Dikenali sebelum ini sebagai MESB Bhd, Lotus Circular akan membayar RM68 juta untuk membeli Earthwise daripada Lotus Essential Sdn Bhd (LESB), yang dimiliki 99% oleh Sak Kuan dan RM32 juta untuk mengambil alih Expert Resources, yang dimiliki 55% juga oleh beliau.

 

Beliau kini merupakan pemegang saham terbesar dengan 26.62% pegangan dalam Lotus Circular. 

 

Selain daripada kitar semula, Lotus Circular juga terlibat dalam perdagangan dan peruncitan produk kulit, pakaian dan aksesori.

 

Jumlah harga pembelian itu melebihi nilai pasaran Lotus Circular pada RM63.5 juta, berdasarkan harga penutupan saham semalam, sebanyak 44 sen.

 

"Lotus Circular akan membayar pembelian tersebut dengan wang tunai RM35.01 juta yang diperoleh daripada dana dalaman syarikat atau pinjaman bank dan saham baru," demikian menurut pemfailan syarikat di Bursa Malaysia, semalam.

 

Ia berkata, harga pembelian syarikat-syarikat tersebut ditentukan setelah mengambil kira potensi pendapatan, prospek industri kitar semula dan jaminan keuntungan gabungan selama dua tahun sebanyak RM16 juta untuk tahun kewangan 2025 dan 2026.

 

Jelasnya, jaminan keuntungan itu membawa kepada penggandaan harga ke pendapatan (P/E) sebanyak 12.5 kali, berdasarkan purata jaminan keuntungan tahunan sebanyak RM8 juta.

 

Setelah pengambilalihan selesai, pegangan saham Sak Kuan dalam Lotus Circular termasuk dalam LESB, akan meningkat kepada 57.31%. 

 

Jumlah pegangan saham Sak Kuan, LESB dan individu bersama beliau akan meningkat kepada 70.6% daripada 38.7%.

 

Beliau dan pihak yang bertindak bersama beliau (PAC) akan memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tidak membuat tawaran mandatori bagi mengambil alih pegangan saham yang masih belum dimiliki dalam Lotus Circular, dengan syarat diluluskan oleh pemegang saham yang tidak terlibat dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.

 

Menurut Lotus Circular, kedua-dua Earthwise dan Expert Resources telah menunjukkan keuntungan yang konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

Bagi tahun kewangan 2024, Earthwise mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM571,786, manakala Expert Resources mencatatkan PAT sebanyak RM2.94 juta.

 

Syarikat menjangkakan pengambilalihan itu akan selesai pada suku kedua 2025. - DagangNews.com