Luno perkenalkan fungsi Stake Ethereum patuh Syariah pertama di dunia kepada rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Luno perkenalkan fungsi Stake Ethereum patuh Syariah pertama di dunia kepada rakyat Malaysia

Scarlett Chai
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Dis — Luno kini merupakan bursa aset digital dikawal selia pertama di dunia yang menawarkan fungsi Stake Ethereum (ETH) Patuh Syariah.

 

Pengiktirafan ini merupakan pencapaian terbesar dalam menjadikan mata wang kripto sebagai pelaburan alternatif untuk para pelabur Muslim di rantau Asia Tenggara yang mempunyai lebih dari suku juta umat islam.

 

Luno, tersedia di Malaysia dan Indonesia – menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang menawarkan perkhidmatan fungsi Stake Ethereum Patuh Syariah, sekaligus dapat meyakinkan pelabur beragama Islam di Malaysia bahawa pelaburan mereka selari dengan kehendak syariah. 

 

Komited untuk membolehkan pelanggan meneroka dan mempelbagaikan portfolio mereka dengan selamat, Luno bekerjasama dengan firma perundingan kewangan Islam antarabangsa, Amanie Advisors Sdn. Bhd., yang juga merupakan firma penasihat syariah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, untuk melakukan semakan menyeluruh dan terperinci terhadap fungsi Stake Ethereum Luno dalam memastikan kepatuhannya dari sudut syariah.

 

Country Manager bagi Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, “Malaysia telah dikenali sebagai hab bagi kewangan Islam serta kejayaannya dalam menjadi perintis perbankan Islam masa kini".

 

"Kini, dengan pengiktirafan Patuh Syariah bagi fungsi Stake Ethereum Luno, kami amat berbangga untuk mengumumkan bahawa Malaysia sekali lagi telah membuat satu langkah ke hadapan dan kekal unggul dalam memacu perkhidmatan kewangan Islam.” 

 

“Dengan pengenalan fungsi Stake Ethereum Luno Patuh Syariah, Luno bercadang untuk memperluaskan lagi perkhidmatan dan koin-koin yang diiktiraf patuh syariah agar semua pengguna boleh melabur dengan yakin,” tambah Chai.

 

 

Amanie Advisors, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar
           Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar

 

 

Pengasas Amanie Advisors, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, “Teknologi Staking telah mencipta satu jejak dalam bidang Syariah kontemporari. Teknologi ini benar-benar menunjukkan kepakaran Syariah yang jelas, bergaya dan penuh impak.”

 

Para pelabur berpotensi untuk menerima ganjaran ETH sehingga 3% setahun, secara mingguan, tanpa memerlukan pengetahuan lanjutan mengenai fungsi Stake.

 

Mereka juga boleh menyertai fungsi Stake dengan serendah 0.00001 ETH atau RM1, sekaligus fungsi Stake Luno mengurangkan batasan kewangan untuk para pelabur menyertai perkhidmatan ini.

 

Apa itu fungsi Stake?

Fungsi Stake adalah satu daripada kaedah untuk menjana ganjaran kripto dengan membantu mengesahkan transaksi kripto. Anda boleh menjadikan mata wang kripto sebagai Stake pada projek yang menggunakan mekanisme konsensus ‘Proof-of-Stake’ untuk memproses transaksi, seperti Ethereum.

 

Mekanisme konsensus ‘Proof-of-Stake’ memerlukan peserta rangkaian mencagarkan matawang kripto mereka sebagai tukaran kepada keselamatan rangkaian mata wang kripto. Anda perlu meletakkan sejumlah mata wang kripto sebagai Stake terlebih dahulu untuk menjadi sebahagian sebagai pengesah dan menerima ganjaran.

 

Anda akan diberikan ganjaran jika anda mengesahkan transaksi yang betul. Jika anda mengesahkan data palsu atau tidak sahih, anda mungkin akan dikenakan penalti dan akan kehilangan sedikit mata wang kripto yang dijadikan Stake.

 

Namun begitu, kami berusaha keras untuk mengurangkan risiko ini melalui kerjasama kami dengan pengesah bertaraf industri, yang telah menetapkan perlindungan, mempunyai sistem gagal-selamat (fail-safe) dan diawasi setiap masa.

 

Apakah ganjaran yang ditawarkan?

Luno akan menawarkan peratus ganjaran tahunan sehingga 3% setahun pada Ethereum yang dijadikan Stake.

 

Ganjaran akan diterima dalam bentuk mata wang kripto Ethereum (ETH), dan jumlah ganjaran adalah bergantung pada keadaan rangkaian.

 

Ganjaran akan diberikan secara mingguan. Luno tidak mengenakan caj untuk menyertai fungsi Stake, atau penarikan Stake namun akan mengenakan caj perkhidmatan fungsi Stake dari ganjaran ETH yang diterima. - DagangNews.com