KUALA LUMPUR 7 Nov - Mah Sing Group Bhd membeli 2.12 hektar tanah pegangan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada harga RM113 juta bagi melaksaakan pembangunan berorientasikan transit (TOD), M Aurora.
Pembelian tanah keempat kumpulan itu berikutan pelancaran M Oscar yang telah dijual sepenuhnya dan M Aurora akan memenuhi permintaan sebagai TOD yang dijangka menjana keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak RM660 juta.
Mah Sing berkata, perancangan awal pembinaan M Aurora termasuk apartmen servis dan ruang runcit termasuk unit pandu lalu.
"M Aurora menawarkan pilihan beberapa unit dengan harga bermula daripada RM468,800.
“Pembangunan itu berdekatan dengan Stesen KTM Jalan Templer dengan hanya sejauh 330 meter dan Stesen KTM Petaling sejauh 450 meter.
"Ia juga terletak berhampiran dengan Jalan Gasing, lokasi M Aurora merupakan ideal dan strategik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan kunci kira-kira yang kukuh dan kira-kira RM911.5 juta tunai dan baki bank setakat 30 Jun 2024, Mah Sing berada pada kedudukan baik untuk meneruskan pemerolehan strategik selanjutnya di seluruh wilayah utama, termasuk Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, dengan kedudukan kewangan yang teguh dan penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.10 kali, beliau yakin dengan pertumbuhan kumpulan merentas pelbagai jenis projek.
Mah Sing juga berkata, kumpulan itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan 2024 yang ditetapkan pada RM2.5 bilion, disokong oleh prestasi jualan kukuhnya sebanyak RM1.66 bilion dalam lapan bulan pertama tahun itu.
“Momentum tersebut didorong oleh pembangunan rumah M Series yang mampu menarik pemilik rumah kerana kedudukannya yang strategik.
"Prestasi jualan yang mantap mencerminkan keupayaan kumpulan untuk memenuhi permintaan pasaran dan mengukuhkan keyakinan untuk mencapai sasaran akhir tahun," katanya. - DagangNews.com