Malacca Securities menilai harga saham Azam Jaya yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.47 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities menilai harga saham Azam Jaya yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.47

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada firma pembinaan yang berpangkalan di Sabah, Azam Jaya Bhd pada RM1.47.

 

Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah 88.5% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 78 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November 2024.

 

Katanya, penilaian itu adalah berdasarkan nisbah P/E sebanyak 18 kali ganda pendapatan sesaham (EPS) FY25 sebanyak 8.14 sen.

 

"Walaupun P/E adalah di bawah purata rakan setara sektor pembinaan & kejuruteraan sebanyak 19.2 kali ganda dan purata P/E sejarah sebanyak 24 kali ganda, kami percaya ia adalah wajar memandangkan permodalan pasaran kumpulan yang lebih kecil sebanyak RM390 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Azam Jaya sasar kumpul RM61.5 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan pakej daripada projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan Fasa 2 dan 3 Lebuhraya Pan Borneo.

 

Katanya, ia disokong oleh pengalaman kumpulan dalam pembinaan infrastruktur dan kepakaran dalam projek yang kompleks dari segi teknikal dan modal kerja yang kukuh daripada hasil IPO, yang membolehkannya mengambil projek berskala lebih besar. 

 

"Kami menjangkakan bahawa buku pesanan Azam Jaya akan mula berkembang dari FY25 dan seterusnya, menyumbang dengan ketara kepada pendapatannya pada FY26 dan seterusnya," katanya.

 

Malacca Securities berkata, menerusi Belanjawan 2025, pembangunan untuk Sabah dan Sarawak terus menjadi keutamaan, dengan peruntukan masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

 

Katanya, peningkatan tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur ini memberi petanda baik bagi syarikat pembinaan seperti Azam Jaya kerana permintaan untuk perkhidmatan pembinaan dijangka meningkat.

 

"Memandangkan pengalamannya dalam projek infrastruktur berskala besar, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini dalam sektor pembinaan," katanya.- DagangNews.com