Malacca Securities menilai KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28.5 sen | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities menilai KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28.5 sen

Kilang komponen kenderaan KHPT Holdings di Telok Panglima Garang, Banting.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen dan alat ganti automotif, KHPT Holdings Bhd pada 28.5 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan itu menunjukkan potensi kenaikan 42.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2024.

 

"Penilaian kami diperoleh dengan mengaitkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 15x kepada EPS (pendapatan sesaham) FY25 sebanyak 1.9 sen. 

 

"Walaupun P/E yang diberikan adalah sedikit lebih tinggi daripada P/E tertimbang pasaran sebanyak 13.88x, iaitu 8.1% berbanding rakan-rakan terdekat (Rajah #6) yang mempunyai P/E dalam julat 7-18x, kami percaya ini adalah adil kerana nisbah P/E jangka panjang FBM Small Cap berada pada 14.5x. 

 

"Perlu juga diperhatikan bahawa indeks FBM Small Cap semasa didagangkan pada nisbah P/E sebanyak 19x pada masa ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Malacca Securities dalam pada itu meramalkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) pendapatan selama tiga tahun sebanyak 16.0%, di mana untung selepas cukai (PAT) teras dijangka mencapai RM6.6 juta, RM7.7 juta, dan RM8.6 juta dalam tiga tahun akan dating.

 

Katanya, ini disokong oleh pengembangan kemudahan operasi, pertumbuhan berterusan daripada OEM tempatan dan inisiatif serta dasar kerajaan yang menyokong. 

 

"Bahagian pembuatan alat ganti dijangka terus berkembang, mendapat manfaat daripada pengembangan kemudahan operasinya, yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 83.3% kepada 5,765,760 keping, meningkat daripada kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3,144,960 keping pada FY24.

 

"Selain itu, pertumbuhan yang mampan daripada OEM tempatan dan prospek positif untuk TIV dijangka mencetuskan lebih banyak peluang perniagaan untuk kumpulan," jelasnya.

 

Malacca Securities dalam pada itu berkata, jualan Perodua yang cemerlang akan memberi manfaat kepada KHPT.

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu membangkitkan mengenai kebergantungan Kumpulan kepada pelanggan utama. 

 

"Sebarang kehilangan pelanggan utama ini dan ketidakupayaan untuk menggantikan pelanggan tersebut dengan pelanggan baru atau dengan tambahan pesanan daripada pelanggan sedia ada dalam tempoh yang tepat, boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan dan memberi kesan negatif terhadap prestasi kewangan kumpulan," ujarnya. - DagangNews.com