KUALA LUMPUR 16 Okt - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Universiti Teknikal MARA Sdn Bhd (UniKL) bagi kerjasama meningkatkan pengalaman dan pengetahuan perusahaan melalui pelbagai inisiatif, termasuk latihan industri bagi mahasiswa institusi pengajian tinggi itu sebagai sebahagian daripada program Memperkasakan Pengindustrian.
Selain itu, LOI tersebut merangkumi projek penyelidikan bersama dalam bidang-bidang yang memberi kepentingan bersama dan kerjasama terbabit turut memberikan kedua-dua pihak akses kepada kemudahan penyelidikan & pembangunan (R&D), serta membolehkan mereka mendapatkan geran kerjasama penyelidikan untuk menyokong usaha sama berkenaan.
Melengkapkan perkongsian itu, Malakoff akan meningkatkan kemahiran dan keupayaan kakitangan teknikal mereka melalui program latihan yang tepat pada masanya, serta memastikan tenaga kerja sentiasa berada di depan dalam standard industri.
Pertukaran dokumen diadakan di Kampus BMI UniKL di Gombak, Kuala Lumpur, di antara Ketua Pegawai Sumber Manusia Malakoff, Raja Iskandar Raja Mukhtaruddin dan Pengerusi UniKL, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, disaksikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin menzahirkan keterujaan Malakoff dalam menyediakan kemudahan dan kepakaran bagi meningkatkan kemahiran bakat muda di UniKL.
Beliau yakin, generasi muda yang serba lengkap adalah penting bagi memacu negara ke arah mencapai sasaran peralihan tenaga dan memastikan masa depan yang mampan.
"Pengalaman luas dalam industri tenaga dan inisiatif RE seperti projek dekarbonisasi terkini di loji termal di Johor, telah menempatkan kami di barisan hadapan kemajuan industri.
"Selaras dengan perkembangan industri yang pesat, kami sentiasa meningkatkan kemahiran berpasukan untuk kekal relevan, malah kami juga komited untuk berkongsi pengetahuan terkini dengan generasi muda," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, menerusi inisiatif memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan serta kepakaran terkini, Malakoff dan UniKL sebenarnya sedang mengasuh pemimpin masa depan yang bakal memacu kemajuan negara dan akhirnya memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada komitmen Malakoff terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu No. 8 iaitu Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi iaitu menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berkelanjutan, serta kesempatan pekerjaan penuh dan produktif yang membawa kepada pekerjaan yang layak untuk semua.
Ia juga selaras dengan tujuan utama Malakoff iaitu Enhancing Life, Enriching Communities.
Pada tahun 2023, Malakoff bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi berkongsi kemahiran khusus dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), penyelesaian tenaga dan sistem penyejukan berpusat kepada pelajar yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui usaha bersama demi memperkukuhkan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang disesuaikan buat pekerjaan tertentu. - DagangNews.com