Malaysia Airlines jalin kerjasama dengan platform StudentUniverse mudahkan perjalanan pelajar, pengembara muda | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines jalin kerjasama dengan platform StudentUniverse mudahkan perjalanan pelajar, pengembara muda

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Okt - Malaysia Airlines mengumumkan kerjasama strategik baharu dengan StudentUniverse, platform perjalanan pelajar terbesar dan terkemuka di dunia, yang bertujuan untuk menyediakan pilihan perjalanan yang mampu milik bagi pelajar dan pengembara muda. 

 

Kerjasama itu akan menawarkan manfaat eksklusif dan pakej perjalanan yang disesuaikan, yang merupakan antara yang terbaik dalam industri untuk pelajar. 

 

Dengan menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat, kerjasama berkenaan akan mempromosikan pertukaran budaya dan penjelajahan, sambil mengukuhkan komitmen Malaysia Airlines untuk menjadikan perjalanan lebih mudah dan bermakna bagi generasi pengembara global yang seterusnya. 

 

Melalui kerjasama itu, pelajar berumur 13 hingga 26 tahun yang sedang mengikuti pendidikan sepenuh masa boleh menikmati diskaun 20% ke atas tambang kelas Perniagaan dan Ekonomi Malaysia Airlines (tidak termasuk kelas tambang tertentu), serta tambahan 10 kilogram kuota bagasi. 

 

Tambang eksklusif tersebut boleh didapati melalui platform StudentUniverse, yang menawarkan pilihan mudah bagi pelajar sambil memastikan mereka menerima perkhidmatan berkualiti tinggi yang terkenal dari Malaysia Airlines.

 

Untuk mengakses diskaun eksklusif tersebut, pelajar hanya perlu mendaftar di laman web atau aplikasi StudentUniverse dan menyediakan bukti status pelajar mereka. 

 

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama dengan StudentUniverse selaras dengan misinya untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang luar biasa kepada semua penumpang, termasuk pengembara muda. 

 

"Dengan memenuhi pasaran ini, kami bukan sahaja menyediakan pilihan perjalanan yang lebih mudah, tetapi juga berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi warganegara global yang akan menghubungkan budaya berbeza dan meluaskan pandangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Pengangkutan Udara Global Pelajar dan Belia di StudentUniverse, Smirza Smajic, menekankan kepentingan kerjasama itu yang disifatkan menarik dengan tawaran yang menyediakan lebih banyak nilai kepada pengembara pelajar. 

 

"Reputasi Malaysia Airlines yang cemerlang seiring dengan misi kami untuk menjadikan perjalanan mampu milik dan mudah diakses oleh pelajar.

 

"Bersama-sama, kami akan menawarkan tawaran penerbangan eksklusif dan pakej promosi, mengukuhkan kedudukan kami sebagai platform perjalanan pilihan bagi pengembara muda," jelas beliau. - DagangNews.com