KUALA LUMPUR 9 Okt - Usaha Malaysia untuk mendapatkan kesemua pesawat tempur F/A-18 Hornet Legacy Kuwait berjalan lancar setelah perbincangan secara tidak rasmi diadakan di peringkat kerajaan.
Ini susulan pertemuan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Mohammed Sabah al-Salem Al-Sabah.
Ia bagi memaklumkan hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Kuwait memberi respons positif berhubung hasrat dan keperluan Malaysia serta tiada halangan mengenainya.
Pada pertemuan itu juga, persefahaman antara kedua-dua negara akan diperkukuhkan menerusi memorandum persefahaman kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya pertahanan.
Difahamkan, kerjasama itu dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
Mohamad Khaled dalam lawatan ke Kuwait sejak Ahad lalu bertujuan memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
Beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah di Kementerian Pertahanan Kuwait.
Lawatan juga bagi menyatakan hasrat memulakan rundingan kaedah pembelian pesawat F/A-18C/D Hornet milik Kuwait Air Force (KAF) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Delegasi Menteri Pertahanan bersama Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan berapa wakil Mindef kemudian telah dibawa melawat ke Pangkalan Udara Ahmad al-Jaber yang menempatkan skuadron Hornet Kuwait.
Skuadron Ke-9 KAF di sini bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Hornet Legacy.
Ketibaan Mohamed Khaled dan delegasi Malaysia telah disambut Timbalan Ketua Staf Angkatan KAF yang juga Komandan Tentera Udara Kuwait, Mejar Jeneral Sheikh Sabah Jaber Al-Ahmad Al-Sabah.
Delegasi telah diberikan taklimat mengenai status, keupayaan dan pengoperasian pesawat tempur F/A-18C/D KAF termasuk oleh pasukan juruterbang KAF sendiri.
Pada masa sama Menteri Pertahanan turut diberi peluang melihat sendiri keadaan sebahagian aset strategik berkenaan.
Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi fasa seterusnya.
Pembelian ini antara usaha Kementerian Pertahanan (Mindef) mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara negara.
TUDM memerlukan pesawat tempur tambahan bagi mengisi jurang sebelum program pembelian pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dilakukan menjelang tahun 2035.
Kuwait pada dasarnya bersetuju menjual pesawat-pesawat F/A-18 Hornet C dan D kepada Malaysia selepas mereka selesai menerima pesawat Super Hornet pada tahun 2025.
Penjualan ini juga setelah mendapat lampu hijau daripada negara pengeluar asal iaitu Amerika Syarikat.
Kuwait membeli pesawat Super Hornet iaitu 22 varian F/A-18E dan 6 buah F/A-18F selain 28 buah pesawat tempur Eurofighter Typhoon bagi memodenkan angkatan udaranya. - DagangNews.com