IPOH 10 Okt - Ladang tembikai Jepun organik premium pertama di Malaysia, HAMI Ecofarms Sdn. Bhd. (HAMI EcoFarms) akan dibantu agensi-agensi pertanian dalam meningkatkan kualiti buah dan pasaran.
Dua agensi terlibat ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Mardi akan memberi tunjuk ajar bagi meningkatkan kualiti produk manakala FAMA daripada sudut sasaran pasaran lebih meluas.
Pengarah Urusan HAMI EcoFarms, Aw Chee Choy berkata, bantuan yang diberikan itu nanti dapat membantu syarikat untuk terus berdaya saing di pasaran.
"Kita harap dapat belajar dan tunjuk ajar daripada pihak yang lebih berpengalaman iaitu FAMA dan Mardi Perak.
"Khususnya dari sudut pemprosesan serta pasaran eksport, sebelum ini pun FAMA memberi kerjasama terbaik dan banyak bantu HAMI Ecofarms.
"Mardi pula kita harap dapat belajar tentang perusahaan ladang serta pengendalian lepas tuai," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kawasan Perindustrian Pengkalan II di sini.
HAMI EcoFarms menerima kunjungan 15 pegawai kedua-dua agensi yang diberikan penerangan serta dibawa melawat ke ladang.
Lawatan diketuai Pengarah Mardi Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob dan turut disertai Pegawai FAMA Daerah Kinta, Ahmad Zaki Ahmad.
Selain tembikai premium Jepun, ladang itu juga baru mengusahakan tanaman berpotensi lain seperti markisa dan labu.
Menurut Che Choy, ketika ini pihaknya masih memberikan tumpuan kepada pasaran tempatan terutamanya ke Johor dan Kuala Lumpur.
"Sebenarnya untuk eksport ialah 50 peratus sahaja, sebolehnya kita tidak mahu eksport dan amal konsep 'farm to table'.
"Saya mahu rakyat tempatan khususnya di Perak rasa keunikan buah ini yang dihasilkan secara organik, rasanya memang berbeza dan premium,” ujarnya.
Sementara itu, Zaiha Zeeti berkata, ladang tersebut mengeluarkan tanaman organik yang berkualiti tinggi.
Justeru katanya, antara bantuan yang boleh diberi ialah khidmat rundingan berhubung pengendalian lepas tuai.
"Mardi akan bantu HAMI EcoFarms untuk tingkatkan kualiti produk, khususnya daripada sudut pengendalian lepas tuai.
"Khidmat rundingan juga akan diberi supaya mereka dapat eksport tembikai wangi premium ini, kerana tahap ketahanan buah ini tidak lama.
“Buah bertahan dalam tujuh hari setelah dipetik dan perlu sampai kepada pelanggan dalam tempoh tersebut.
"Pertanian organik juga ambil masa lama berbanding guna bahan kimia, namun untuk jangka masa panjang sebenarnya pihak syarikat jimat bagi proses rawatan tanah," katanya. - DagangNews.com