Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Frontken sebanyak 8% pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Frontken sebanyak 8% pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - Walaupun Frontken Corp Bhd dijangka merekodkan keputusan kukuh pada 4QFY24 tetapi Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan FY24 sebanyak 8% tetapi mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan itu pada FY25 dan FY25.

 

Katanya, momentum pertumbuhan semikonduktor yang berdaya tahan di pasaran Taiwan dan Singapura akan terus menjadi pemacu kepada pendapatan kumpulan yang lebih tinggi pada FY25.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada 3QFY24, kumpulan itu mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM36 juta dan secara kumulatif, untung bersih teras kumpulan bagi 9MFY24 adalah sebanyak RM95.1 juta. Jumlah itu hanya 63% daripada ramalan dan konsensus FY24.

 

"Didorong perolehan berurutan yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam perolehan Malaysia dan Singapura, perolehan kumpulan pada 3QFY24 sebanyak RM144.3 juta adalah perolehan suku tahunan tertinggi direkodkan.

 

"Hasil segmen bagi pasaran Taiwan juga melebihi RM100 juta buat kali pertama direkodkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan melonjak 32% pada suku terbaharunya yang berakhir pada September 2024, kerana permintaan kukuh untuk produknya mendorong hasil dan penggunaan lebih tinggi bagi kemudahan di Taiwan.

 

Kumpulan itu, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan untuk industri semikonduktor, menyaksikan keuntungan bersih sebanyak RM35.32 juta pada 3QFY24, meningkat daripada RM26.75 juta setahun yang lalu.

 

Hasil suku tahunan juga meningkat 8.08% kepada rekod RM144.31 juta, daripada RM133.52 juta pada 3QFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun perolehan di Taiwan mencatatkan keputsan luar biasa margin EBIT segmen itu menguncup 41% disebabkan peningkatan jumlah pekerja dengan menjangkakan pemuatan volum yang lebih kukuh daripada pelanggan faundri utamanya tahun depan.

 

Katanya, bagi pasaran Malaysia, kilang di Kulim kembali kepada kapasiti operasi penuh, manakala ketidaktentuan segmen minyak dan gas berjaya diselesaikan pelanggan sedang dalam proses memperbaharui kontrak mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.95 sesaham," katanya. - DagangNews.com