KUALA LUMPUR 19 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan laporan mengenai Rundingan Awam berhubung Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.
MCMC memaklumkan sesi rundingan awam yang berakhir pada 5 Nov lepas bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyedia perkhidmatan, pemain industri dan orang awam.
MCMC memberitahu rundingan awam itu diadakan untuk mendapatkan pandangan bagi menghalusi dan menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) sebelum penerbitannya sebagai amalan terbaik industri menjelang 1 Jan 2025.
“Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini bertujuan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, dengan fokus spesifik kepada perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, MCMC menghargai maklum balas dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak serta pandangan mereka dalam membantu untuk memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) adalah jelas, fleksibel dan praktikal.
“Sumbangan ini penting untuk menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin.
“Walaupun versi akhir Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) akan diterbitkan dalam masa terdekat, laporan rundingan awam yang kini tersedia memberikan gambaran keseluruhan tentang maklum balas yang diterima,” menurut MCMC.
Suruhanjaya itu juga telah meneliti dan mempertimbangkan maklum balas berkenaan dengan teliti untuk menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik).
Laporan penuh mengenai rundingan awam ini boleh dilayari dan dimuat turun menerusi pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/PressRelease/MCMC_PublicConsultation-Report-on-Draft-Code-of-Conduct-Best-Practicefor-Service-Providers-18122024.pdf. - DagangNews.com