KUALA LUMPUR 10 Dis - Anak syarikat tidak langsung 95% milik Mega First Corp Bhd, Don Sahong Power Company Ltd memeterai perjanjian konsesi tambahan (SCA) dengan kerajaan Laos dan perjanjian pembelian tenaga tambahan (SPPA) dengan Electricité Du Laos berikutan penambahan penjana turbin 65MW baharu pada 4 Julai 2024, pada harga kira-kira AS$78 juta (RM345.32 juta).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Mega First berkata projek tenaga hidro Don Sahong kini mempunyai kapasiti 325MW dan dijangka menjana kira-kira 2,300 GWj setahun berikutan penyiapan penjana turbin kelima.
Berdasarkan SCA, tarikh operasi komersial baharu bagi keseluruhan projek ialah 1 Jan 2025, dan tempoh konsesi baharu ialah 25 tahun dari tarikh tersebut.
Syarikat Don Sahong Power juga telah bersetuju untuk membayar AS$82.5 juta pendahuluan kepada kerajaan Laos sebagai ganti royalti yang perlu dibayar pada 2,140 GWj ketersediaan tenaga bagi setiap tahun fiskal dari 1 Jan 2024, hingga 31 Dis, 2049.
Cukai pendapatan akan menjadi 5% pada 2026, secara beransur-ansur meningkat kepada 24% pada 2030.
Sementara itu, perubahan besar kepada SPPA termasuk perubahan dalam tempoh konsesi agar selaras dengan SCA.
Electricité Du Laos hendaklah membeli dan membayar semua ketersediaan tenaga secara `ambil atau bayar' pada bulan November hingga Mei (musim kemarau) setiap tahun sepanjang tempoh SPPA.
Selain itu, untuk bulan Jun hingga Oktober (musim hujan), Electricité Du Laos hendaklah membeli dan membayar ketersediaan tenaga sehingga 955GWj pada asas ambil atau bayar setiap tahun sepanjang tempoh SPPA.
Untuk sebarang ketersediaan tenaga melebihi 955GWj, EDL hendaklah membeli dan membayar sebarang tenaga yang dihantarnya.
Struktur tarif telah diselaraskan untuk bermula pada enam sen AS pada tarikh operasi komersial, secara beransur-ansur meningkat kepada 6.2 sen AS pada 2029.
Tarif yang diratakan dikekalkan pada kadar sebelumnya ialah 6.15 sen AS. - DagangNews.com