Meriam EVA 155mm dijangka jadi pilihan kontrak bekalkan sistem SPH Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Meriam EVA 155mm dijangka jadi pilihan kontrak bekalkan sistem SPH Tentera Darat

Sistem SPH EVA 155mm yang dijangka menjadi pilihan Mindef.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Okt - Sistem artileri mudah gerak (Self Propelled Howitzer, SPH) EVA155mm buatan Slovakia disebut-sebut menjadi pilihan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi pembelian aset baharu Tentera Darat.

 

Walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai perkara ini, namun jangkaan tersebut berdasarkan beberapa kriteria pada sistem persenjataan itu yang dilihat mempunyai kelebihan.

 

Berdasarkan sumber industri juga, EVA dijangka menjadi pilihan Mindef bagi membekalkan sekurang-kurangnya 18 sistem meriam berkenaan. 

 

 

Sepertimana diketahui, kontrak membekalkan meriam SPH menjadi rebutan beberapa syarikat tempatan dengan kerjasama pengeluar luar negara.

 

Meriam
Bedilan tembakan sistem SPH EVA 155mm/52.

 

Meriam

 

Kontrak membekalkan meriam SPH yang dianggarkan bernilai RM800 juta hingga RM900 juta ini merupakan pembelian besar bagi sistem artileri.

 

Sebelum ini Kementerian Kewangan (MOF) dikatakan telah mengeluarkan Surat Niat (LOI) kepada syarikat Global Komited bagi perolehan tersebut.

 

Global Komited merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Weststar yang turut membekalkan beberapa jenis kenderaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Dakwaan itu bagaimana pun dinafikan oleh Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberitahu cadangan membeli sistem artileri SPH masih dalam proses perolehan.

 

Penyertaan syarikat Slovakia ini semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 pada Mei lalu telah menarik perhatian pemerhati pertahanan tempatan, tambah menguatkan andaian EVA menjadi pilihan.

 

Meriam
Meriam Caesar 155mm SPH.

 

Meriam

 

Antara yang bersaing untuk memenangi kontrak ini ialah sistem Caesar SPH buatan Perancis dan Yavuz 155mm dari Türkiye.

 

Meriam EVA 155mm buatan Konstrukta Defence dari Slovakia ini merupakan sistem SPH yang baharu apabila mula diperkenalkan pada tahun 2015.

 

Ia menggunakan meriam 155mm/L52 dan mampu membedil semua jenis peluru mengikut standard NATO serta dipasang di atas kenderaan Tatra T810.

 

Salah satu ciri yang paling ketara bagi sistem EVA ialah mobilitinya yang tinggi, disebabkan oleh berat meriamnya.

 

EVA ialah sistem artileri autonomi yang dilengkapi dengan sistem pemuatan peluru automatik membolehkan tembakan lebih berkesan.

 

Meriam
Rekabentuk sistem EVA M2 yang dibina berdasarkan pengalaman operasi dalam konflik di Ukraine.

​​​​

 

Meriam

 

Meriam

 

Sistem ini termasuk struktur senjata, platform dan sistem kawalan dalam kenderaan dengan mekanisme pemuatan automatik yang mampu mengendalikan 12 butir peluru beserta cas.

 

Ini membolehkan sistem melancarkan lima tembakan pada minit pertama dan sembilan tembakan dalam dua minit, semuanya dikawal oleh komander dari dalam kabin kenderaan.

 

Ini merupakan kelebihan utama EVA selain melindungi kru tanpa perlu keluar kenderaan untuk melepaskan tembakan meriam.

 

EVA mampu membedil ke sasaran pada jarak 41 kilometer (km) menggunakan peluru biasa atau 50km menggunakan peluru bantuan roket. 

 

Dengan berat keseluruhan sistem ini adalah 22 tan, ia dikategorikan sebagai sangat berat untuk sebuah sistem SPH.

 

Meriam
Kenderaan Tatra 8x8.

 

Bagaimana pun, dengan ciri-ciri autonomi dan perlindungan pada kenderaan, EVA umpama sebuah kubu bergerak membolehkan ia berubah dari satu kedudukan ke satu kedudukan lain dengan pantas.

 

Ini berbeza dengan sistem SPH beroda lain yang walaupun mempunyai mobiliti sama tetapi tidak mempunyai perlindungan dan terdedah kepada serangan balas musuh.

 

Kebanyakan sistem SPH beroda memerlukan kru keluar daripada kenderaan untuk mengendalikan meriam bagi melancarkan tembakan.

 

Kelebihan pada EVA ini berdasarkan pengalaman penggunaan sistem tersebut dalam konflik di Ukraine.

 

Meriam
Meriam howitzer G5 155mm milik Tentera Darat.
​​​​​​

 

Meriam

 

Sistem SPH EVA milik Ukraine terselamat dalam beberapa serangan dron kamikaze Rusia disebabkan mempunyai perlindungan kepada kru.

 

Ini berbeza dengan kedudukan meriam-meriam biasa yang terdedah kepada serangan udara.

 

Varian terbaharu EVA iaitu M2 atau juga dikenali sebagai BIA SPH dibangunkan secara usahasama Slovakia dan Ukraine berdasarkan penggunaan dalam konflik tersebut.

 

Berbanding dengan EVA, BIA membawa lebih banyak peluru, mempunyai perlindungan kru yang lebih tinggi dan juga automasi operasi tempur.

 

Howitzer dibina pada casis Tatra Force (815-7) dengan ruang berperisai buatan Tatra Defence Vehicle.

 

Varian baharu ini juga boleh dipasang di atas casis kenderaan seperti pacuan 6x6 sekali gus menjadikan ia lebih ringan. - DagangNews.com