KUALA LUMPUR 21 Nov - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) meramalkan Mi Technovation Bhd mencatatkan pertumbuhan hasil dua digit menerusi segmen perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) dan segmen perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) pada FY24.
Katanya, segmen perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) kumpulan bersedia melengkapkan fasa pertama pengambilan bakat serta penubuhan makmal dan jabatan ujian tahun ini.
"Sampel produk generasi pertama telah dihantar kepada pelanggan untuk kelayakan dan kemajuan semasa SSBU berada di landasan yang betul selaras dengan rancangan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pada suku tersebut, hasil yang lebih kukuh itu disokong oleh SEBU dan SMBU.
Katanya, jualan SEBU meningkat 22.7% kepada RM62.7 juta, didorong tempahan kukuh untuk Siri Mi (pemasangan dan peralatan pembungkusan) di Malaysia.
Selain itu ia dibantu lebih banyak penghantaran peralatan Siri Si (peralatan ujian akhir) di China untuk 30.75% milik Talentek Microelectronics (Hefei), yang merupakan pemain pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar untuk industri telefon pintar.
Jualan SMBU meningkat 16.1% kepada RM54.9 juta berikutan peningkatan jualan daripada kedua-dua operasi Accurus Taiwan dan Accurus China.
"SSBU yang terlibat dalam modul kuasa tinggi dan peranti untuk aplikasi jalur lebar dalam segmen automotif & tenaga boleh diperbaharui (RE) di Hangzhou, China, menjana pendapatan kecil sebanyak RM61,000," katanya.
PublicInvest berkata, memandangkan keputusan yang lebih kukuh daripada jangkaan, mereka meningkatkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak 11% tetapi tidak membuat perubahan kepada unjuran pendapatan FY25-FY26.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.92 sesaham," katanya. - DagangNews.com