KUALA LUMPUR 25 Sept - Kenderaan peninjau mobiliti tinggi (HMRV) akan menjadi aset baharu Tentera Darat berikutan tender untuk membekalkan kenderaan tersebut dikeluarkan Kementerian Pertahanan (Mindef).
HMRV adalah sebuah kenderaan ringan bermobiliti tinggi yang rekabentuknya seperti buggy komersial.
Berbeza dengan kenderaan pacuan empat roda, HMRV lebih rendah dan ringan tetapi masih mengekalkan ciri-ciri taktikal serta tahan lasak.
Bahagian Perolehan Mindef telah mengeluarkan tender untuk membekal dan menghantar 100 buah sebagai kenderaan sokongan Tentera Darat.
Bagaimana pun, nilai pembelian tidak disebut cuma syarat yang ditetapkan adalah kenderaan tersebut mestilah buatan tempatan.
Difahamkan, pembelian HMRV ini adalah sebahagian daripada 733 kenderaan sokongan untuk Tentera Darat.
Pembelian HMRV menyaksikan Tentera Darat mengikut trend tentera negara-negara moden memiliki kenderaan sedemikian dalam tugas dan operasi.
HMRV boleh diperanankan sebagai kenderaan peninjau ringan sama ada oleh pasukan komando termasuklah infantri kerana sesuai dengan keadaan muka bumi.
Jadi, berkemungkinan pembelian HMRV ini bagi dibekalkan kepada pasukan seperti 10 Briged Para dan Batalion Infantri Standard.
Negara jiran Singapura misalnya telah lama mengoperasikan kenderaan HMRV dalam pasukan infantri lebih 20 tahun lalu.
Terbaharu, Singapura menggunakan LSV MkII (Light Strike Vehicle) buatan tempatan sebagai kenderaan serangan pantas ringan.
Semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di Kuala Lumpur pada Mei lalu, beberapa syarikat tempatan ada mempamerkan kenderaan HMRV masing-masing.
Kebanyakan model HMRV yang dipamerkan adalah buatan luar negara tetapi menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan untuk ditawarkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara yang mencuri tumpuan ialah Chaiseri Wildcat HMV 4x4.
Syarikat Thai Chaiseri dan syarikat Malaysia, Widad Group Berhad (Widad) telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menyokong penawaran Wildcat HMV 4x4 kepada ATM.
Menerusi kerjasama ini, syarikat Widad bertindak sebagai wakil untuk menawarkan produk Chaiseri dari Thailand termasuk mengambil bahagian dalam penilaian ujian berdasarkan keperluan perolehan Tentera Darat.
Difahamkan, Wildcat HMV direka mengikut keperluan Tentera Darat yang memerlukan kenderaan ringan pantas.
Turut dipamerkan semasa DSA 2024 ialah HMRV Polaris MRZR buatan firma Polaris Inc. Amerika Syarikat (AS).
Dalam industri HMRV, Polaris merupakan peneraju utama apabila telah membangunkan kenderaan sedemikian sejak 2008.
Polaris MRZR mempunyai beberapa varian dan telah digunakan 20 pasukan tentera di dunia selain menjadi HMRV yang telah terbukti kemampuan di medan perang.
Kor Marin AS juga memiliki HMRV Polaris sebagai kenderaan utiliti taktikal.
Syarikat tempatan, Mildef Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) pada edisi DSA 2022 dua tahun lalu ada mempamerkan kenderaan HMRV Tedung Light Attack Vehicle.
Justeru, pembelian HMRV melibatkan syarikat tempatan oleh Mindef dapat merangsang pembangunan industri pertahanan dalam negara. - DagangNews.com