Mitsubishi Triton generasi keenam dilancarkan secara rasmi di Malaysia, harga pengenalan bermula RM101,980 | DagangNews Skip to main content

Mitsubishi Triton generasi keenam dilancarkan secara rasmi di Malaysia, harga pengenalan bermula RM101,980

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Okt –  Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan trak pikap Mitsubishi Triton generasi keenam serba baharu, menampilkan lima varian yang juga pengganti model sebelumnya, menetapkan piawaian baharu dalam inovasi, prestasi dan reka bentuk.

 

Bermula dari harga RM101,980, Mitsubishi Triton baharu itu ditawarkan dalam lima varian iaitu Triton Single Cab, Triton MT, Triton AT GL, Triton AT Premium serta Triton Athlete.

 

Triton

 

Generasi terbaharu Triton tersebut telah direka semula sepenuhnya, dari bahagian luar dan dalam, hingga ke casis, rangka ladder dan enjin.

 

Antara ciri utama ditawarkan oleh Mitsubishi Triton generasi baharu adalah rekaan Beast Mode, saiz badan lebih besar dengan casis mega-frame baharu dan sistem suspensi dipertingkatkan.

 

Triton Athlete yang serba baharu juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had mileage untuk tempahan yang dibuat sebelum Disember 2024, sementara varian lain pula dilengkapi dengan jaminan lima tahun atau 200,000 kilometer mileage, yang mana dahulu.

 

Triton

 

MMM juga menawarkan kotak penyimpanan lipat 60L bernilai RM450 sebagai hadiah awal untuk 500 pelanggan pertama yang membuat tempahan untuk Triton baharu melalui Showroom Dalam Talian Mitsubishi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata, sebagai trak pikap yang sesuai dengan era baharu, syarikatnya membangunkan Triton serba baharu berdasarkan konsep produk ALL ACTION yang memberikan pengendalian dan kestabilan jalan yang cemerlang.

 

Triton

 

"Triton baharu ini direka untuk memenuhi semangat pengembaraan dan menangani sebarang cabaran jalan dalam apa jua keadaan dengan keselesaan seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk perjalanan yang lebih jauh.

 

"Model ini yang terkenal dengan pengendalian yang unggul, ketahanan, kekuatan dan kebolehan memandu serta keselesaan, baik untuk kegunaan peribadi atau perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Antara ciri-ciri yang diperkenalkan adalah saiz badan yang lebih besar berbanding model sebelumnya, enjin baharu yang mencapai output lebih tinggi dan prestasi alam sekitar yang dipertingkatkan serta suspensi yang memberikan keselesaan perjalanan yang cemerlang dan kestabilan stereng.

 

Selain itu, Triton serba baharu itu turut memiliki reka bentuk yang kukuh dan dalaman yang sporty, menawarkan fungsi dan kebolehan operasi yang cemerlang.

 

Model berkenaan datang dalam varian double cab dan single cab, bergantung kepada penggunaan yang dimaksudkan. 

 

Triton

 

Double cab dilengkapi dengan dua baris tempat duduk yang menawarkan keselesaan seperti SUV dan utiliti trak pikap, manakala single cab hanya mempunyai satu baris tempat duduk untuk kegunaan praktikal.

 

Ia turut dilengkapi lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, grafik berbentuk T pada lampu belakang serta diserlahkan lagi melalui rim 18-inci atau 16-inci untuk varian rendah.

 

Perincian lain termasuklah ciri dalaman diilhamkan daripada SUV seperti dok pengecasan tanpa wayar, Apple CarPlay & Android Auto serta ruang penyimpanan serba boleh.

 

Triton 2024 dikuasakan enjin baharu 4N16 2.4 liter, berupaya menghamburkan 181hp dan tork 430Nm, sementara untuk varian Athlete, ia menghasilkan sekitar 201hp dan 470Nm.

 

Dua varian terendah dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala varian lebih tinggi dipadankan bersama kotak gear automatik 6-kelajuan.

 

Selain itu, varian Athlete menerima sistem pacuan 4WD-II Super Select dan tujuh mod pemanduan dipertingkatkan memastikan prestasi jalan yang optimum.

 

Varian lain pula dilengkapi sistem Easy-Select 4WD dengan pilihan 2H (pacuan roda belakang), 4H (differential tengah berkunci), serta 4L (untuk pemanduan gear rendah).

 

Dari segi keselamatan, ia kini dilengkapi dengan Active Yaw Control yang membantu kawalan ketika melalui jalan licin, selain mempunyai Advanced Driver Assistance System (ADAS). - DagangNews.com