KUALA LUMPUR 10 Dis - Syarikat utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holdings Bhd menerusi Syarikat Mutu Nusantara Sdn Bhd menerima kontrak RM162.59 juta bagi pembinaan stesen suis utama bervoltan tinggi bagi projek pusat data di wilayah selatan.
Kumpulan itu berkata, kontrak daripada pelanggan yang tidak didedahkan itu bermula serta-merta dengan sasaran siap menjelang Julai 2025.
Katanya, skop kerja kontrak itu meliputi semua tenaga kerja, bahan, mesin dan peralatan serta kerja-kerja lain untuk menyiapkan kontrak.
Pelanggan yang memberikan kontrak itu secara prisipnya terlibat dengan aktiviti penyediaan infrastruktur untuk pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan, pemborongan pelbagai barangan tanpa pengkhususan dan aktiviti pengurusan kemudahan komputer.
Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Loy Siong Hay berkata, pemberian kontrak itu adalah bukti keupayaan dan kecekapan kumpulan yang semakin meningkat dalam industri kuasa.
“Memandangkan pusat data baharu dibina di seluruh Asia Tenggara, Malaysia secara beransur-ansur muncul sebagai peneraju kerana hartanah mampu milik, infrastruktur telekomunikasi yang kukuh dan bekalan kuasa yang boleh dipercayai.
"Pada masa ini, pembangunan pasaran pusat data Malaysia terdiri daripada 1.2 gigawatt (GW) yang dirancang, mewakili 600% pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Malaysia mengalami lonjakan besar dalam pembangunan pusat data. Dalam tempoh dua tahun sahaja, kapasiti melonjak daripada 10 megawatt (MW) kepada lebih 1,000MW, menjadikannya kuasa besar serantau.
"Ledakan ini menawarkan beberapa prospek menarik kepada kumpulan dan kami akan terus memanfaatkan pengalaman dalam utiliti bawah tanah dan segmen kejuruteraan pencawang untuk mendapatkan lebih banyak projek daripada segmen pusat data," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Termasuk kemenangan kontrak terbaru, MN Holdings berjaya meningkatkan buku pesanannya kepada kira-kira RM763.7 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh kepada kumpulan untuk dua tahun akan datang.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan 2026.- DagangNews.com