KUALA LUMPUR 23 Sept - Kerajaan negeri Pahang memulakan langkah apabila menceburi pasaran emas di Malaysia melalui Pahang Gold Sdn. Bhd. (Pahang Gold) sekali gus merancakkan ekonomi negeri.
Pahang Gold dalam kenyataan memaklumkan, industri emas mempunyai potensi besar untuk diteroka terutama dalam pengeluaran emas fizikal, sektor pelaburan dan pembuatan barang kemas.
Dengan nilai emas yang stabil dan permintaan global yang tinggi, ia merupakan pilihan pelaburan jangka panjang yang kukuh.
Pahang Gold menyasarkan pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat, serta pemasaran emas berkualiti tinggi bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga pada peringkat global.
Dalam kenyataan sama, Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Pahang Gold berkata, industri emas telah lama menjadi sebahagian daripada identiti dan kekayaan negeri Pahang.
Menurut beliau, pelancaran jenama Pahang Gold juga merupakan langkah ke arah era baharu yang menjanjikan potensi besar.
“Syarikat ini bukan sahaja akan memacu ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta menambah nilai kepada produk emas tempatan.
“Saya berharap Pahang Gold akan menjadi simbol kebanggaan negeri dan peneraju dalam industri emas negara.
“Menerusi konsep ‘Merakyatkan Industri Emas’ pula kita menyasarkan penglibatan seluruh rakyat Pahang dalam industri emas, dari peringkat huluan hingga hiliran.
“Matlamat utama adalah agar setiap keluarga di Pahang memiliki emas, baik sebagai perhiasan mahupun pelaburan,” ujar beliau.
Terdahulu, Wan Rosdy melancarkan jenama Pahang Gold sempena Persidangan S-GLC Pahang 2024 di Hotel Everly Putrajaya.
Persidangan S-GLC Pahang ini untuk memahami lebih mendalam usaha Pahang Gold mencipta peluang ekonomi melalui pelaburan dan produk berasaskan emas.
Pada majlis sama turut diperkenalkan laman web e-dagang rasmi Pahang Gold, www.pahanggold.com sebagai platform utama pembelian dan pelaburan produk emas secara dalam talian.
Buat permulaan, tiga jenis koleksi emas dijual iaitu Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series seberat 0.25 gram (g) hingga 100g dalam bentuk jongkong, syiling, wafer dan Dinar Pahang Gold. - DagangNews.com