KUALA LUMPUR 22 Jan - Ketidakpastian terhadap kesan pusat data tempatan akibat sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) teleh melembapkan harga saham perbankan tempatan, kata CIMB Securities.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pasaran hartanah yang stabil boleh menjadi pemangkin baharu bagi memacu pendapatan bank.
"Kadar inflasi yang meningkat akan melonjakkan penilaian hartanah dan sekaligus menaikkan penilaian cagaran portfolio pinjaman.
“Berdasarkan trend dahulu, kestabilan pasaran hartanah mampu menurunkan kos kredit bagi sektor perbankan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu menolak risiko penurunan taraf pendapatan bagi bank tempatan.
Katanya, pasaran hartanah bagi tempoh sembilan bulan 2024 (9M24) terus mengekalkan prestasinya bagi suku ketiga 2024.
Menurut data tahunan terkini bagi 2023, jumlah transaksi hartanah sebanyak 399,008 menghampiri rekod tertingginya sebelum ini iaitu 430,403 unit yang dicatatkan pada 2011.
“Ini menunjukkan prestasi segmen hartanah agak lemah berikutan beberapa siri langkah pengawalseliaan dari 2012 hingga 2014.
“Lebih penting lagi, nilai hartanah yang diurus niaga meningkat kepada rekod tertinggi baharu iaitu RM197 bilion pada 2023, melebihi paras sebelum ini sebanyak RM163 bilion pada 2014.
"Ini menandakan keyakinan pelabur dalam sektor hartanah,” kata firma penyelidikan itu.
Mengulas lebih lanjut, CIMB Securities berkata, nilai tahunan hartanah yang diurus niaga telah jatuh sejak 2014, yang memuncak kepada RM119 bilion semasa pandemik 2020.
"Sekiranya kami ingin menaikkan nilai 9M24 sektor hartanah terkini sebanyak RM162 bilion, ini akan membawa kepada jumlah nilai tahunan sebanyak RM217 bilion, berpotensi mencipta satu lagi rekod tertinggi baharu untuk 2024," katanya.
Di samping itu, unit hartanah yang tidak terjual juga berada pada paras terendah dalam tempoh lima tahun.
“Jumlah unit tidak terjual merosot dua digit selama dua tahun berturut-turut, jatuh kepada 55,348 unit pada 2023.
“Bilangan unit tidak terjual pada 2023 adalah di bawah paras pra-pandemik 2019 iaitu 56,988 unit,” katanya. - DagangNews.com