KUALA LUMPUR 7 Nov - Pelaksanaan gaji minimun dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing pada tahun hadapan diunjur meningkatkan kos Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) kepada RM5.7 juta.
CIMB Securities berkata F&N menganggarkan bahawa 27% daripada tenaga kerjanya akan terjejas oleh kenaikan gaji minimum, yang ditetapkan berkuat kuasa pada Februari 2025, selain cadangan caruman wajib KWSP untuk pekerja asing.
Katanya, ini akan menyebabkan kos tahunan tambahan sebanyak RM5.7 juta, mewakili 1% daripada unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan (FY) 2025.
"Bagi mengurangkan kos buruh yang semakin meningkat, F&N telah memanfaatkan gudang sistem penyimpanan dan perolehan automatik (ASRS), yang menyumbang penjimatan sebanyak RM24 juta pada FY24 disebabkan oleh pengurangan perbelanjaan buruh dan tenaga.
"Penjimatan daripada sistem ASRS akan meningkat apabila jumlah jualan meningkat, menekankan fokus F&N terhadap automasi dalam menyokong keuntungan di tengah-tengah peraturan buruh yang ketat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, CIMB Securities meramalkan, pertumbuhan pendapatan negatif sebanyak -2.3% pada FY25, diikuti keuntungan sederhana masing-masing sebanyak 2.8% dan 1.9% pada FY26 dan FY27, berikutan peningkatan kos komoditi dan kos persediaan berterusan berkaitan dengan ladang tenusu bersepadu di Gemas yang dijangka mengehadkan pertumbuhan pendapatan dalam jangka pendek.
Selain itu, sebagai tindak balas kepada kenaikan cukai minuman manis yang akan datang daripada 50 sen kepada 90 sen seliter pada Januari 2025, F&N menjangkakan impak minimum ke atas hasilnya, kerana di bawah 1% daripada jualan FY24 datang daripada produk yang tertakluk kepada cukai itu.
Syarikat itu akan menyerap tambahan RM1.2 juta dalam kos untuk memastikan harga berpatutan tetapi akan terus membangunkan produk rendah gula untuk sejajar dengan trend kesihatan pengguna.
Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM32.30.
Firma itu melihat penilaian semasa F&N sebagai adil, memandangkan kedudukan pasarannya yang kukuh dalam sektor F&B namun pertumbuhan pendapatan jangka pendek yang terhad.- DagangNews.com