Pemegang saham Capital A setuju lupus perniagaan penerbangan kepada AAX, buka jalan keluar daripada status PN17 | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Capital A setuju lupus perniagaan penerbangan kepada AAX, buka jalan keluar daripada status PN17

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Pemegang saham Capital A menyokong cadangan pelupusan perniagaan penerbangan kumpulan itu kepada AirAsia X (AAX) semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kelulusan pemegang saham untuk melepaskan perniagaan penerbangan membuka jalan untuk Capital A untuk bergerak kepada kunci kira-kira bersih yang akan memberikan kejelasan dan fleksibiliti untuk memuktamadkan pelan penyusunan semula dan keluar daripada status status Nota Amalan 17 (PN17). 

 

Katanya, kelulusan tersebut membolehkan Capital A menumpukan perhatian kepada empat tonggak strategik kumpulan yang akan memacu transformasinya menjadi sebuah syarikat perkhidmatan penerbangan dipacu teknologi kalis masa depan melalui Capital A Aviation Services (CAPAS), MOVE Digital, Teleport (Logistik) dan syarikat Jenama AA.

 

"Kejelasan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pemegang saham dan pelanggan, membolehkan kami mentakrifkan semula masa depan perjalanan di rantau ini.

 

"Strategi Capital A bertujuan untuk membangunkan perkhidmatan penerbangan dipacu teknologi dan perniagaan digital yang akan menyokong jangkaan pertumbuhan yang ketara dalam permintaan perjalanan. 

 

"Mengasingkan perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan membolehkan kami menumpukan perhatian untuk mematangkan sokongan penerbangan pertumbuhan tinggi dalam perkhidmatan dan perniagaan digital yang telah kami bina untuk menyokong perniagaan penerbangan.

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang dipercepatkan. Daripada perjalanan digital kepada logistik dan pengurusan jenama, kami sedang membina ekosistem perkhidmatan penerbangan yang teguh dan berkuasa teknologi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Berikutan kelulusan penting hari ini, Capital A akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengagihkan saham pertimbangan kepada pemegang saham melalui pengurangan dan pembayaran balik modal saham terbitan syarikat yang dirancang. 

 

Ia juga akan mendapatkan kelulusan daripada pemegang Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tebus (RCUIDS) pada mesyuarat mereka pada 14 Oktober. 

 

Katanya, langkah-langkah kritikal itu akan membolehkan Capital A mencapai kunci kira-kira yang bersih dan menumpukan pada mengemukakan pelan penyusunan semulanya sebelum akhir tahun, dengan tujuan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17(PN17).- DagangNews.com