Penajaan Malaysia Airlines ke atas Manchester United dijamin tidak jejaskan operasi teknikal - Menteri Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Penajaan Malaysia Airlines ke atas Manchester United dijamin tidak jejaskan operasi teknikal - Menteri Pengangkutan

Malaysia Airlines menandatangani kerjasama strategik dengan Manchester United sebagai syarikat penerbangan komersial rasminya pada Mac 2024. - Gambar fail
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Okt - Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberi jaminan penajaan Malaysia Airlines dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United tidak akan menjejaskan penyelenggaraan atau operasi teknikal syarikat penerbangan nasional itu.

 

"Saya percaya (urusan MAS dengan) kelab bola sepak itu adalah sebahagian daripada strategi pemasaran", kata Loke di Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab soalan Richard Rapu (GPS-Betong), yang membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan pemasaran syarikat penerbangan itu ketika ia berdepan isu teknikal pesawat.

 

 

"Saya yakin pengurusan teknikal diberi keutamaan tertinggi kerana keselamatan penerbangan adalah keutamaan bagi syarikat penerbangan, khususnya bagi Malaysia Airlines," kata Loke.

 

Mac lalu, MAS menandatangani kerjasama strategik dengan Manchester United sebagai syarikat penerbangan komersial rasminya.

 

 

iktisad

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Industri penerbangan dunia dilanda masalah, bukan sahaja Malaysia Airlines

 

Sejak Ogos, bagaimanapun, syarikat penerbangan itu menghadapi lencongan penerbangan dan pendaratan kecemasan, menyebabkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengurangkan kesahihan sijil pengendali udaranya daripada tiga tahun kepada satu tahun.

 

Malaysia Aviation Group, yang memiliki syarikat penerbangan itu, mengaitkan cabaran operasi dengan kekurangan alat ganti global dan kelewatan dalam pembaikan dan baik pulih enjin.

 

Loke mengulangi bahawa Malaysia Airlines, seperti banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia, sedang bergelut dengan isu teknikal yang disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.

 

"Saya yakin Malaysia Airlines telah melakukan segala yang mungkin untuk menangani isu teknikal ini," katanya. - DagangNews.com