KUALA LUMPUR 4 Dis – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) masih dalam perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi meringankan beban pemegang polisi berikutan peningkatan tuntutan perubatan yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut persatuan, sepanjang tempoh 2021 hingga 2023, inflasi kos tuntutan perubatan terkumpul yang luar biasa sebanyak 56% telah meletakkan banyak syarikat insurans dalam kedudukan kritikal kerana terpaksa menguruskan nisbah tuntutan yang tinggi berbanding premium.
"Kenaikan kos penjagaan di hospital swasta serta pertambahan pemegang polisi yang terpaksa mendapatkan rawatan telah meningkatkan tuntutan dan premium.
"Penanggung insurans mempunyai kewajipan untuk memastikan dana insurans perubatan mereka kekal solvent. Mereka telah bersetuju untuk menguruskan semakan kadar di masa hadapan bagi meringankan beban pemegang polisi akibat peningkatan tuntutan," kata Liam dalam satu kenyataan pada Selasa.
Liam menjelaskan, penanggung insurans juga sedang berusaha aktif berkomunikasi dengan pelanggan mereka untuk menangani kesan pelarasan harga insurans kesihatan.
"Mereka juga menyediakan pelbagai pilihan bagi memastikan kesinambungan polisi dan membolehkan pengguna terus membayar premium pada kadar berpatutan," jelasnya.
Persatuan itu turut menyatakan, industri insurans hayat bekerja rapat dengan BNM, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk membangunkan strategi jangka panjang bagi mengurangkan kesan kewangan daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan dan tuntutan perubatan.
Sejak September lalu, penanggung insurans dan pengendali takaful wajib menawarkan kepada pengguna pilihan untuk membeli produk insurans perubatan dengan ciri pembayaran bersama, yang pada dasarnya memberikan pilihan kepada pemegang polisi untuk berkongsi kos perubatan sebagai cara untuk mengurangkan premium mereka.
Secara ringkasnya, mereka yang tidak mengambil pilihan pembayaran bersama itu terpaksa membayar premium yang lebih tinggi untuk insurans perubatan mereka.
Dalam satu kenyataan bersama minggu lalu, Liam bersama-sama dengan Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia berkata, semakan premium adalah langkah yang tidak dapat dielakkan, didorong oleh peningkatan kos rawatan perubatan, teknologi penjagaan kesihatan yang lebih canggih dan peningkatan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Menurut BNM, pada tahun 2023 sahaja, Malaysia mengalami inflasi kos perubatan sebanyak 12.6%, lebih dua kali ganda daripada purata global iaitu 5.6%.
APHM yang mewakili lebih 150 hospital di seluruh negara bulan lalu membeitahu, industri penjagaan kesihatan tidak menghasilkan keuntungan yang berlebihan dengan hanya margin keuntungan selepas cukai industri sebanyak 9%-11%, iaitu kadar sederhana berbanding sektor-sektor lain. - DagangNews.com