KUALA LUMPUR 21 Nov - Penganalisis menaikkan unjuran pendapatan dan harga sasaran ke atas Hap Seng Plantations Holdings Bhd, selepas kumpulan perladangan itu mengatasi jangkaan pasaran dalam keputusan suku tahunan baru-baru ini.
Hap Seng Plantations mencatatkan keuntungan bersih pada 3QFY24 sebanyak RM43.8 juta, menjadikan keuntungan bersih teras 9MFY24 kumpulan kepada RM100.4 juta.
CIMB Securities berkata, prestasi tersebut melebihi jangkaan pasarannya serta anggaran setahun penuh dan konsensus masing-masing sebanyak 92% dan 85%.
"Harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan kos operasi yang lebih rendah daripada jangkaan mendorong kepada keuntungan bersih kumpulan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" terhadap Hap Seng Plantations, menaikkan harga sasarannya (TP) kepada RM2.45 daripada RM2.20, berdasarkan baki tunai bersih RM567 juta (71 sen sesaham) pada 30 September 2024 dan hasil dividen sebanyak 4.7%.
CIMB juga menaikkan unjuran pendapatan Hap Seng Plantations FY24 sehingga FY26 sebanyak 27%, mencerminkan jangkaan harga MSM yang lebih tinggi dan pelarasan kos buruh.
Katanya, unjuran tersebut bergantung kepada andaian harga MSM terkini berjumlah RM4,200, RM4,250 dan RM4,100 setiap tan masing-masing pada FY24, FY25 dan FY26.
Dalam nota berasingan, Kenanga Research berkata, harga MSM dijangka teguh, memandangkan bekalan minyak makan global kelihatan akan melebihi permintaan sekali lagi pada 2025.
"Kos pengeluaran MSM sepatutnya kekal rendah pada suku keempat memandangkan kos baja dan tenaga yang lebih lembut, ditambah dengan ringgit yang lebih kukuh, berbanding tahun kewangan lepas," katanya.
Kenanga menaikkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) teras FY24 sehingga FY25 Hap Seng Plantations sebanyak 11% serta meningkatkan TP kepada RM2.70, daripada RM2.50.
Sementara itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Hap Seng Plantations, mencerminkan potensi pendapatan mampan syarikat, operasi huluan kukuh, kedudukan tunai bersih teguh dan rekod prestasi dividen konsisten.- DagangNews.com