KUALA LUMPUR 13 Jan - Sarawak telah selesai mengambil alih MASwings Sdn Bhd (MASwings), membuka laluan bagi negeri itu untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Pengambilalihan MASwings telah selesai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana 2025 yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching, hari ini seperti laporan The Star.
Jelas beliau, Sarawak mengambil alih MASwings dengan harga yang dipersetujui, namun tidak mendedahkan jumlah tersebut.
Katanya, majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan akan diadakan dalam masa sebulan, yang dijangka berlangsung di Kuching.
Ditanya mengenai nama baharu syarikat penerbangan itu, beliau berkata, ia akan diumumkan selepas majlis menandatangani perjanjian.
Bulan lalu, Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings oleh Sarawak dijangka selesai pada suku pertama tahun ini, bergantung kepada penilaian aset syarikat berkenaan.
Beliau menjelaskan, sebuah agensi audit pihak ketiga telah dilantik untuk menentukan nilai yang sesuai, berikutan perbezaan penilaian aset antara kerajaan negeri dan syarikat induk MASwings, Malaysia Aviation Group.
Dalam ucapan khasnya, Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings akan meletakkan Sarawak sebagai pintu gerbang ke ASEAN.
"Dengan kapasiti armada yang lebih besar dan perkhidmatan yang dipertingkatkan, matlamat kami adalah untuk meningkatkan hubungan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam radius penerbangan empat hingga tujuh jam," katanya.
Beliau menambah, langkah itu akan merangsang perdagangan, pelancongan dan pelaburan dalam lima tahun akan datang. - DagangNews.com