Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 5.2% kepada 35,979 tan metrik pada Ogos 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 5.2% kepada 35,979 tan metrik pada Ogos 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia turun sebanyak 5.2% kepada 35,979 tan metrik pada Ogos 2024 berbanding 37,960 tan dicatatkan semasa Jun 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Perbandingan dari tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran NR menokok 14.9% daripada 31,309 tan metrik pada Ogos 2023.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Ogos kebanyakannya telah dipacu oleh sektor pekebun kecil pada 88.1% berbanding 11.9% oleh sektor estet.

 

“Jumlah stok getah asli pada Ogos 2024 merosot 13.7% kepada 127,876 tan metrik daripada 148,106 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala kilang pemproses getah menyumbang 88% daripada stok diikuti oleh kilang pengguna getah (11.1%) dan ladang getah (0.2%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, eksport getah berjumlah 57,482 tan metrik pada Ogos, kenaikan 19.2 peratys berbanding 48,204 pada Julai disumbangkan oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

 

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 25.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2024 diikuti Emiriyah Arab Bersatu (20.1%), Jerman (10.1%), Amerika Syarikat (AS) (9.6%) dan India (8.3%)

 

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.6 bilion pada Ogos 2024, melonjak 14.6%  berbanding Julai 2024 (RM1.4 bilion),” katanya.

 

Memetik laporan Malaysia Rubber Board Digest diterbitkan pada Ogos 2024, DOSM berkata pasaran getah Kuala Lumpur adalah bercampur-campur dengan harga meningkat.

 

Harga purata bulanan lateks pekat merosot 2% kepada 634.07 sen sekilogram (kg) pada Ogos berbanding 647.23 sen/kg bulan sebelumnya manakala getah sekerap jatuh 1% kepada 664.26 sen/kg pada Ogos daripada 670.80 sen/kg pada Julai 2024. - DagangNews.com