Penggantungan tugas Pengurus Besar Besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan, bertentangan Akta Pertubuhan Peladang 1973 | DagangNews Skip to main content

Penggantungan tugas Pengurus Besar Besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan, bertentangan Akta Pertubuhan Peladang 1973

KUALA LUMPUR 23 Okt - Keputusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menggantung tugas Pengurus Besarnya, Muhamad Faris Arriffin adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana perlu dirujuk kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Peladang sebelum sebarang tindakan diambil.

 

Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam satu kenyataan berkata, sebarang aduan atau dakwaan perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada mereka berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

 

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Pendaftar Pertubuhan Peladang belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas pengurus besar Nafas daripada pengerusi jemaah Nafas.

 

“Justeru, keputusan mesyuarat jemaah pengarah Nafas pada 22 Okt berkaitan penggantungan pengurus besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar,” katanya dalam satu makluman di laman Facebook, hari ini.

 

Terdahulu, jemaah pengarah Nafas mengantung tugas Faris susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan tersebut.

 

Menurut Nafas, pihaknya mendapati berlaku pelanggaran tatakelola ketara apabila terdapat penyaluran kewangan kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang tidak mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu, malah ia juga di luar pengetahuan jemaah pengarah.

 

Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah Nafas bil 5/2024 yang bersidang pada 22 Oktober 2024 telah memutuskan untuk menggantung tugas Faris.

 

Pada masa sama, satu pasukan khas dibentuk bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.

 

Ahli Jemaah Pengarah Nafas menegaskan, mereka merupakan satu pertubuhan yang mengambil berat dalam pengurusan tatakelola yang baik. - DagangNews.com