Penswastaan MAHB dianggap positif, bakal tingkatkan prestasi lapangan terbang negara - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Penswastaan MAHB dianggap positif, bakal tingkatkan prestasi lapangan terbang negara - CIMB Securities

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov - Keputusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memberi kelulusan awal terhadap cadangan penswastaan ​​Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah langkah positif ke arah meningkatkan prestasi keseluruhan lapangan terbang negara, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada minggu lepas, Mavcom memberikan kelulusan kepada MAHB di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.

 

Katanya, cadangan penggabungan itu tidak melanggar undang-undang penerbangan Malaysia, dengan syarat penawar bersama menandatangani perjanjian pemegang saham sah.

 

Mavcom berkata, keputusan itu akan berkuat kuasa selama satu tahun bermula dari tarikh muktamad. 

 

Syarikat yang terlibat dalam cadangan penswastaan ​​MAHB termasuk Gateway Development Alliance Sdn Bhd, Pantai Panorama Sdn Bhd, Kwasa Aktif Sdn Bhd dan GIP Aurea Pte Ltd. 

 

Gateway Development Alliance dianggotai oleh Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Global Infrastructure Management LLC.

 

Penawar bersama merancang untuk memperoleh baki 67.01% saham MAHB yang tidak dimilikinya pada harga tawaran tunai RM11 sesaham.

 

CIMB Securities berkata, saham MAHB berpotensi mencecah paras RM11 berikutan perkembangan itu.

 

“Secara keseluruhannya, keputusan Mavcom adalah langkah positif ke arah penswastaan ​​MAHB. 

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan dan penarafan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM10.30,  berdasarkan nisbah harga pendapatan (PER) hadapan 22 kali ganda pada 2024.

 

"Saranan kami sejajar dengan purata PER dua tahun selepas pandemik dan cadangan tawaran pengambilalihan sukarela pra-syarat oleh Khazanah Nasional Bhd dan konsortium yang diketuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

 

Walaupun perjanjian itu mengakibatkan pengurangan ketara persaingan, ia mungkin dibenarkan jika membawa faedah ekonomi atau kelebihan sosial mengatasi kebimbangan persaingan.- DagangNews.com