Perbelanjaan iklan susut 7%, Kenanga Research ramal segmen akhbar terus berdepan tekanan | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan iklan susut 7%, Kenanga Research ramal segmen akhbar terus berdepan tekanan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Kenanga Research meramalkan segmen akhbar terus berdepan tekanan terutama selepas perbelanjaan iklan (adex) menyusut sebank 7% pada 2024. 

 

Katanya, aliran itu sejajar dengan penurunan adex untuk akhbar yang diterbitkan Media Chinese Internatinal Limited (-1%), Star Media Group Bhd (-11%) dan Media Prima Bhd (-7%). 

 

"Penerbit akhbar juga terus berdepan kos tinggi untuk percetakan, dakwat serta logistik pengedaran. 

 

"Selain itu, syarikat media tradisional yang lebih besar menghadapi ketidaktentuan pendapatan, dengan segmen perniagaan tertentu kadangkala mencatatkan kerugian bagi suku tahunan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dari segi positif, firma penyelidikan itu berkata, adex radio pada tahun lalu berkembang sebanyak 2%, mungkin didorong minat baharu terhadap stesen tertentu (seperti FlyFM dan HotFM) berikutan barisan penyampai radio yang diperbaharui.

 

Katanya, walaupun suku keempat 2024 lemah, siaran tv percuma mengakhiri tahun dengan pertumbuhan adex sebanyak 2.3%.

 

Sebaliknya, adex untuk saluran TV utama Media Prima (iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9) adalah mendatar, kerana adex yang lebih tinggi di NTV7 (+35%) telah diimbangi oleh penurunan saluran lain.

 

"Kami percaya populariti berterusan siaran tv percuma disokong kandungan tempatannya yang kukuh (terutamanya di TV3), dan pasarannya yang boleh ditangani dalam segmen penduduk berpendapatan rendah," katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research percaya, perbelanjaan pengiklanan digital akan merosot berikutan peralihan berterusan dalam belanjawan pengiklanan beralih arah kepada kerjasama dengan pemimpin pendapat utama (KOL) dan penajaan jenama serta  permesejan web seperti WhatsApp dan Telegram.

 

Peralihan itu mencerminkan peningkatan populariti platform itu, yang digariskan oleh rakyat Malaysia melebihi purata global untuk masa menonton video media sosial sebanyak 55%.

 

"Menyokong trend ini, Shopee melaporkan 75% daripada pengguna dalam talian Malaysia bergantung pada pempengaruh dengan 34% mempertimbangkan cadangan mereka sebelum membuat pembelian.

 

"Selain itu, penggunaan penyekat iklan yang semakin meningkat terus menghakis capaian iklan sepanduk, seterusnya mengurangkan daya tarikan tapak web sebagai medium pengiklanan," katanya. - DagangNews.com