Perbelanjaan rakyat diramal positif pada 2025 tetapi hutang isi rumah tinggi bakal jadi risiko - BMI | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan rakyat diramal positif pada 2025 tetapi hutang isi rumah tinggi bakal jadi risiko - BMI

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun ekonomi Malaysia semakin pulih, risiko besar pada 2025 ialah paras hutang isi rumah yang tinggi. - Gambar hiasan NAIM/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions, positif terhadap perbelanjaan pengguna Malaysia pada 2025 didorong oleh pemulihan ekonomi berterusan yang memacu pertumbuhan stabil. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun ekonomi Malaysia semakin pulih, risiko besar pada 2025 ialah paras hutang isi rumah yang tinggi.

 

"Keadaan ini akan mendorong pengguna menumpukan sebahagian besar daripada belanjawan mereka untuk membayar balik hutang, sekali gus mengehadkan kapasiti perbelanjaan mereka untuk barangan dan perkhidmatan lain," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi mengurangkan tekanan inflasi dan pasaran buruh akan mengekalkan perbelanjaan pengguna konsisten.

 

Walaupun keyakinan pengguna semasa dilihat lemah, BMI berkata, jualan runcit yang teguh menunjukkan prospek pengguna yang stabil, walaupun trend baru-baru ini untuk mengurangkan jualan runcit memerlukan pemantauan lanjut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan perbelanjaan pengguna Malaysia diunjurkan 5% tahun ke tahun (YoY) dalam terma sebenar, mencecah RM952.6 bilion pada 2025.

 

"Walaupun ia mewakili pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding tahun lepas, ia kekal teguh dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara serta menunjukkan tahap penggunaan yang normal.

 

"Kadar pertumbuhan ini menandakan pertumbuhan pembelanjaan telah kembali ke tahap sebelum COVID-19, dengan perbelanjaan isi rumah sebelum ini berkembang pada kadar purata sebenar 5.2% dari 2015 hingga 2019," katanya.

 

Bagaimanapun, paras hutang yang tinggi dan kos perkhidmatan yang berkaitan boleh mengekangkan perbelanjaan, walaupun terdapat faktor sokongan inflasi yang berkurangan dan pasaran buruh ketat yang mendorong kepada pertumbuhan gaji.

 

Selain itu, keyakinan pengguna telah merosot, mencerminkan pemikiran yang lemah akibat tekanan inflasi berterusan dalam komoditi seperti makanan dan bahan api yang memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Keyakinan pengguna purata menceah 87.1 pada Q124, turun daripada 89.4 pada Q423, menandakan salah satu tahap terendah sejak separuh akhir 2022.

 

Sebaliknya, data jualan runcit dari Ogos 2024 menunjukkan tinjauan stabil, dengan peningkatan 5.9% YoY walaupun ini mewakili pertumbuhan paling perlahan sejak April 2024 akibat penurunan jualan di kedai khusus.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan perbelanjaan pengguna sejajar dengan unjuran risiko bagi pertumbuhan ekonomi iaitu 4.6% YoY pada 2025.

 

Katanya, ekonomi negara menghadapi masalah pertumbuhan akibat kesan asas yang semakin pudar, permintaan tertahan, keadaan kredit yang lebih ketat dan prospek pertumbuhan global yang semakin lemah.

 

"Namun begitu, Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan kukuh berbanding pasaran lain, dibantu oleh sektor pelancongan yang semakin pulih.

 

"Selain itu, ringgit Malaysia diramalkan mengukuh berbanding dolar AS daripada RM4.40 pada 2024 kepada RM3.80 pada 2025, Harga import yang lebih murah ini akan memberi manfaat kepada pengguna," katanya. - DagangNews.com