KUALA LUMPUR 4 Dis - MIDF Research kekal optimistik terhadap prospek perdagangan Malaysia dan prospek pertumbuhan sektor pembuatan, didorong permintaan yang lebih baik untuk eksport negara.
Katanya, ia menjangkakan aktiviti pengeluaran Malaysia terus berkembang, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar.
Menurut Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan mengikut musim pada November 2024, pesanan eksport daripada pasaran antarabangsa menaik, berkemungkinan disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat di seluruh rantau Asia Pasik.
Sementara itu, indeks susut lagi kepada 49.2 pada November berbanding Oktober 49.5, bacaan terendah dalam tujuh bulan dan melanjutkan penguncupan kepada enam bulan berturut-turut.
ARTIKEL BERKAITAN: Sektor pembuatan Malaysia catat pengeluaran perlahan pada November 2024 akibat permintaan lemah - S&P Global
"Penurunan pada November 2024, mencerminkan kelemahan menyeluruh dalam sektor pembuatan, disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam pesanan baharu, output dan tahap inventori.
"Pesanan baharu mencatatkan kejatuhan paling teruk dalam tempoh tujuh bulan. Tunggakan kerja menjadi stabil, mencapai tahap tertinggi selama empat bulan, sebahagian besarnya disebabkan oleh kapasiti pengeluaran yang terhad.
"Aktiviti pembelian, bersama-sama dengan stok input dan barang siap, menyusut pada kadar yang lebih perlahan," katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, masa penghantaran terus dipanjangkan untuk bulan ketujuh berturut-turut, sebahagian besarnya dijelaskan oleh gangguan rantaian bekalan.- DagangNews.com