KUALA LUMPUR 10 Jan - Kenanga Research menganggarkan pemulihan beransur-ansur terhadap permintaan keluli pada 2025 didorong pasaran hartanah yang stabil.
Selain itu katanya, ia juga akan disokong rangsangan tambahan yang memberi manfaat kepada sektor lain dan meningkatkan sentimen pengguna.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik untuk keluli dan produk nilai tambahnya dipacu pelancaran projek infrastruktur utama.
"Permintaan terhadap keluli seharusnya bertambah baik seiring pelancaran projek infrastruktur awam mega seperti LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara, Projek Transit Pantas Autonomi (ART) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
"Harga keluli yang stabil diterjemahkan kepada harga produk yang lebih baik, mengurangkan ketidakstabilan pendapatan pengeluar produk," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga besi susut 0.1% hingga 4.6% pada Disember 2024 di seluruh negara - DOSM
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pembuat paip air berpeluang mendapat keuntungan daripada pemulihan projek air tempatan berikutan kenaikan tarif air yang mengukuhkan aliran tunai pengendali air.
Katanya, sentimen terhadap saham berkaitan air bertambah baik berikutan kenaikan tarif air dan kemajuan secara beransur-ansur dalam pembangunan infrastruktur air.
"Lonjakan bilangan pusat data yang ditubuhkan di Malaysia baru-baru ini akan mendorong kerajaan menangani isu infrastruktur air, kerana bekalan air yang boleh dipercayai adalah penting untuk menyejukkan kemudahan ini," katanya.
Kenanga Research berkata, pengambilan pesanan penggantian paip akan bermula seawal tahun depan kerana proses tender dan pembiayaan dalam kalangan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), pengendali air dan kontraktor lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk dimuktamadkan.
Terdapat beberapa perkembangan positif, termasuk rancangan PBA Holdings Berhad menyiapkan tiga projek saluran paip air bernilai RM189 juta dalam tempoh dua tahun akan datang, PAAB membina dua loji rawatan air baharu di Seberang Perai bernilai RM1 bilion dan peruntukan Sarawak sebanyak RM1.08 billion untuk menaik taraf paip air. - DagangNews.com