KUALA LUMPUR 22 Jan - Pertama Digital Bhd (Pertama) melantik warganegara Singapura, Lim Nasrul Halim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 21 Januari 2025, selepas jawatan tersebut kosong selama lebih setahun.
CEO sebelumnya, Saifullah Akhtar, meninggalkan kumpulan berkenaan pada Oktober 2023, kurang setahun setelah dilantik.
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai pengarah strategi pada 2021.
Sejak itu, bekas Ketua Pegawai Strategi kumpulan, Mohd Reza Mohd Hatta, memegang jawatan sebagai CEO sementara sehingga beliau meninggalkan syarikat pada September 2024.
"Pelantikan rasmi Halim sebagai CEO akan disahkan selepas penerimaan permit kerja beliau," jelas syarikat dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Halim, seorang graduan undang-undang dari Universiti London, membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam kepimpinan korporat merangkumi pelbagai industri, termasuk membimbing sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia, memberi sumbangan kepada Pusat Pembangunan Perniagaan Singapura (EDC) dan memimpin pertumbuhan syarikat teknologi global serta jenama antarabangsa terkenal.
"Beliau akan memacu beberapa inisiatif berimpak tinggi untuk meletakkan kumpulan sebagai peneraju dalam ekosistem digital Malaysia.
"Lembaga pengarah yakin, kepimpinan dan pengalaman pelbagai beliau akan mengangkat Pertama Digital ke tahap yang lebih tinggi, mengukuhkan komitmen syarikat untuk menjadi peneraju dalam peralihan digital Malaysia," kata kumpulan itu.
Pertama Digital mengendalikan aplikasi mudah alih MyPay, yang menggabungkan perkhidmatan elektronik daripada agensi kerajaan Malaysia ke dalam satu platform digital.
Ia juga mengendalikan laman web eJamin, yang membolehkan pembayaran elektronik untuk ikat jamin mahkamah jenayah.
Sebelum ini, Pertama Digital dijangka mengemukakan pelan penyelarasan lebih awal daripada tarikh akhir pada Februari 2025 dan kumpulan itu kini sedang memuktamadkan inisiatif utama, termasuk cadangan pengambilalihan 59% saham dalam Kridentia Tech Sdn Bhd yang akan memperkukuhkan kedudukan kewangannya. - DagangNews.com