Petronas myPROdata manfaatkan AI dan teknologi ML percepat usaha E&P di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Petronas myPROdata manfaatkan AI dan teknologi ML percepat usaha E&P di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Nov – Petronas melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) menjalin kerjasama dengan Earth Science Analytics (ESA) dan Amazon Web Services (AWS) untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) dalam mempercepatkan usaha penerokaan di Lembangan Melayu serta meningkatkan kemampuan data platform Petronas myPROdata. 

 

Platform berasaskan web itu memberi akses kepada para pelanggan untuk data penerokaan dan pengeluaran (E&P) di Malaysia. 

 

MPM akan bekerjasama dengan ESA untuk meneroka teknologi geosains terkini yang menggunakan AI dan ML. 

 

Inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan aliran kerja subsurface yang dipacu AI menggunakan platform EarthNET oleh ESA dan Petronas myPROdata untuk meningkatkan analisis dan tafsiran data subsurface, seterusnya mengoptimumkan penerokaan hidrokarbon di Lembangan Melayu yang matang, di luar pesisir Semenanjung Malaysia. 

 

Kerjasama dengan AWS bertujuan untuk mempertingkatkan platform Petronas myPRODATA melalui AI dan analitik data.

 

AWS akan bekerja bersama Petronas untuk melaksanakan fungsi AI dan ML yang canggih, meningkatkan pengalaman pengguna dan memperkemaskan proses pengurusan data. 

 

Integrasi alat AI dan ML yang canggih itu dijangka mempertingkatkan keupayaan operasi platform Petronas myPROdata, membolehkan pelabur membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan data dalam sektor E&P Malaysia. 

 

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, kerjasama tersebut amat penting dalam mengukuhkan komitmen Petronas terhadap inovasi ketika syarikatnya bersedia untuk Malaysia Bid Round (MBR) 2025. 

 

"Dengan memanfaatkan keupayaan AI dan ML yang maju, kami mahu memberi kuasa kepada pelabur dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) dengan wawasan data yang lebih mendalam dan proses yang lebih efisien, sekali gus memacu keputusan yang lebih bijak dan memastikan pusingan bida yang lebih efektif serta memberi impak kepada semua peserta," katanya dalam satu kenyataan.

 

MBR adalah pusingan pelesenan tahunan yang menawarkan peluang huluan yang pelbagai kepada pelabur berpotensi, termasuklah kawasan penerokaan, Peluang Sumber Ditemui, dan aset pengeluaran di penghujung hayat di seluruh Malaysia. 

 

MBR 2025 dijadualkan pada awal 2025 di Kuala Lumpur. 

 

Petronas komited untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan bagi keselamatan tenaga negara, sambil meneruskan usaha yang berstrategi untuk mencapai operasi berkarbon rendah dan emisi rendah, selaras dengan matlamat untuk mencapai sifar emisi menjelang 2050. - DagangNews.com