KUALA LUMPUR 9 Dis - Syarikat milik negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) melabur sebanyak RM2 bilion dalam projek loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Miri, Sarawak.
Loji berkapasiti 500MW yang dijangka siap pada 2027 itu berpotensi membekalkan elektrik ke Sabah dan Brunei.
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, loji CCGT tersebut boleh menjadi yang pertama seumpamanya di rantau ini, kerana ia menggabungkan hidrogen dan wap untuk menjana elektrik.
Ia akan menggunakan turbin gas canggih dengan penjana wap pemulihan haba dan turbin wap untuk menghasilkan tenaga yang lebih bersih dan cekap kepada rangkaian grid Sarawak.
Kemudahan berkenaan menjana elektrik dengan menggunakan 70% gas metana dan 30% hidrogen.
Pengerusi Petros, Tan Sri Hamid Bugo berkata, loji itu merupakan sebahagian daripada Pelan Gas Sarawak yang lebih besar, yang menggalakkan penggunaan gas asli yang lebih bersih dan cekap.
"Ia akan menyediakan rumusan tenaga yang mampan dan mesra alam untuk kegunaan domestik, penjanaan kuasa dan aplikasi industri," katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut di Lutong, yang dirasmikan oleh Abang Johari, seperti laporan The Star.
Hamid menambah, teknologi menyepadukan turbin gas dan turbin wap untuk penjanaan elektrik menawarkan banyak kelebihan, seperti kecekapan tinggi antara 50% hingga 60%, berbanding 40% kecekapan loji kuasa kitaran tunggal tradisional.
Beliau menekankan, sistem itu mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada pengeluaran tenaga yang lebih bersih, yang penting dalam menangani perubahan iklim.
"Selain itu, kebolehan loji CCGT untuk memulakan dan menghentikan operasi dengan cepat menjadikannya ideal untuk mengimbangi turun naik sumber tenaga boleh diperbaharui, seperti angin dan solar.
"Ia juga boleh ditambah baik, memberikan fleksibiliti dalam pengeluaran tenaga untuk memenuhi permintaan masa depan," katanya.
Hamid juga menambah, kecekapan loji tersebut dan penggunaan bahan api yang lebih rendah akan mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan berbanding loji kuasa tradisional.
Loji CCGT itu yang merupakan projek utama pertama di bawah Pelan Gas Sarawak, akan menggantikan loji kitaran terbuka Sarawak Energy Bhd sedia ada, menghasilkan elektrik dengan intensiti karbon yang lebih rendah untuk grid kuasa negeri.
Abang Johari berkata, projek penjanaan kuasa serupa juga akan dilaksanakan di Bintulu dan Kuching, sebagai sebahagian daripada tiga hab tenaga yang dirancang di bawah Pelan Gas Sarawak.
Setelah beroperasi sepenuhnya, ketiga-tiga hab gas berkenaan akan membekalkan gas ke wilayah utara, tengah dan selatan.
"Sarawak kaya dengan sumber tenaga hidro, gas dan sumber boleh diperbaharui lain yang boleh dikongsi dengan negeri serta negara jiran.
"Melalui Petros, perniagaan kami bukan hanya untuk Sarawak, tetapi untuk seluruh Malaysia dan jiran kami, termasuk perancangan bekalan satu GW elektrik masing-masing ke Singapura dan Semenanjung Malaysia melalui kabel transmisi bawah laut." jelasnya.
Menurut Abang Johari, jika ia berjaya dilaksanakan, Sarawak akan menjadi hab pengeluaran tenaga di rantau ini.
Visi lebih luas Sarawak adalah untuk menjana satu GW elektrik menjelang 2030 dan 1.5GW menjelang 2035, dengan memanfaatkan campuran sumber hidro, gas, hidrogen dan solar.
Miri, sebagai bandar pertama di Sarawak yang mempunyai gas paip ke rumah, akan menyaksikan peluasan perkhidmatan berkenaan.
Pada masa ini, anak syarikat sepenuhnya Petros, Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd, sedang membiayai pemasangan paip gas untuk rumah kediaman di kawasan perumahan Quadruplex Tam Ceria di Permyjaya, Miri, di bawah projek infrastruktur gas komuniti.
Projek lima fasa itu, yang kini memasuki Fasa 2 dan 3, akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah berpendapatan rendah.
Kos pemasangan per rumah adalah kira-kira RM3,000. - DagangNews.com